Polis bantuan rugi RM99,000 beli kereta melalui Telegram

Seorang anggota polis bantuan bank kerugian RM99,000 ditipu sindiket jual beli kereta tidak wujud dalam aplikasi Telegram.Gambar hiasan
Seorang anggota polis bantuan bank kerugian RM99,000 ditipu sindiket jual beli kereta tidak wujud dalam aplikasi Telegram.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis bantuan bank kerugian RM99,000 ditipu sindiket jual beli kereta tidak wujud dalam aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 50 tahun itu melihat satu iklan jualan kereta terpakai Perodua Alza di aplikasi berkenaan pada Khamis lepas dan bertindak menghubungi nombor Telegram itu untuk urusan jual beli.

"Mangsa tertarik untuk membeli sebuah kenderaan jenis Perodua Alza pada harga RM26,000.

"Mangsa kemudiannya membuat pembayaran penuh ke nombor akaun bank yang diberikan suspek.

"Setelah itu, suspek meminta lagi bayaran caj tambahan lain bagi mendapatkan kenderaan berkenaan dan berjanji akan memulangkan wang tersebut selepas semua urusan selesai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa yang terpedaya telah membuat beberapa kali pembayaran sehingga mengalami kerugian berjumlah RM99,000.

"Setelah semakan mendapati kenderaan itu tidak wujud.

'Mangsa yang berasa ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Ahad lepas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Azli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Azli menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan sentiasa berwaspada selain membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan atas talian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!