Lima kilang e-waste di Segamat diarah henti operasi - JAS

JAS mengambil tindakan POK ke atas lima kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor bagi menghentikan pencemaran.
JAS mengambil tindakan POK ke atas lima kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor bagi menghentikan pencemaran.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lima kilang memproses sampah elektronik (e-waste) di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor, dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi menghentikan pencemaran.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, tindakan pada 16 Julai dan 12 Ogos lalu diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Menurutnya, ini susulan 17 aduan yang diterima JAS daripada penduduk berhampiran Kawasan Perindustrian Segamat 2.

"Kita telah melakukan pemantauan berterusan dan telah membuat pemeriksaan di kawasan terbabit melibatkan tujuh premis yang berpotensi menyebabkan berlaku pencemaran.

"Siasatan mendapati lima premis telah melakukan perlanggaran terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

JAS mengambil tindakan POK ke atas lima kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor bagi menghentikan pencemaran.
JAS mengambil tindakan POK ke atas lima kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor bagi menghentikan pencemaran.

Beliau berkata, buangan-buangan yang diproses oleh premis-premis tersebut ialah bateri litium (SW103) membabitkan sebuah kilang, aluminium dros (SW104) (2 kilang), buangan e-waste (SW110) (1 kilang) dan sebuah lagi kilang melibatkan buangan kabel yang tercemar dengan buangan terjadual (SW422).

Katanya, tindakan POK bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku yang seterusnya boleh mengganggu kesihatan awam.

Artikel Berkaitan:

Tegas Wan Abdul Latiff, JAS sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas premis-premis tersebut.

"Denda setiap kesalahan yang boleh dikenakan terhadap premis tersebut jika disabitkan ialah denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 18(1) serta Seksyen 19.

"Selain itu, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 34A(6) yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta selain Seksyen 34B (1)(a) iaitu dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta," ujarnya.

Jelas beliau, JAS akan meneruskan pemantauan di Kawasan Perindustrian Segamat 2 bagi mengenal pasti sekiranya masih terdapat premis memproses buangan terjadual yang beroperasi tanpa kelulusan JAS.

"Kerajaan memandang serius isu jenayah alam sekitar dan ini sudah diterjemahkan melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

"AKAS 1974 yang dipinda dan mula berkuatkuasa pada 7 Julai 2024 telah memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun," katanya.

Tambahnya, selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

"Pihak industri hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kilang atau premis mereka memenuhi semua keperluan perundangan alam sekitar dan tidak melakukan pencemaran alam sekitar.

"Sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh disalurkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

6 Ogos lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sisa e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan hingga mencetuskan kegusaran penduduk yang terjejas dengan bau pada waktu malam.

Ringkasan berita:

  • Lima kilang e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2, Johor diarahkan menghentikan operasi.
  • Tindakan diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 16 Julai dan 12 Ogos 2024.
  • Tindakan berdasarkan Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selepas menerima 17 aduan dari penduduk.
  • Pemeriksaan mendapati lima kilang melanggar akta tersebut, memproses buangan seperti bateri litium, aluminium dros, e-waste, dan kabel tercemar.
  • Denda maksimum hingga RM10 juta dan/atau penjara hingga lima tahun boleh dikenakan.
  • Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 2024 memperkenalkan hukuman yang lebih berat dan kadar kompaun yang ditingkatkan.
  • JAS akan terus memantau kawasan tersebut untuk mengenal pasti kilang lain yang mungkin melanggar undang-undang.
  • Aduan pencemaran boleh disalurkan melalui talian bebas tol, e-mel, dan portal e-aduan JAS.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!