Nahas dua kenderaan: Jenazah murid Tahun 2 selamat dikebumikan
KUALA SELANGOR - Jenazah murid Tahun 2 yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai di sini pada Rabu.
Jenazah Nur Arissa Safiyya Mohd Azril, 8, sebelum itu dibawa ke Masjid Raja Lumu untuk disembahyangkan pada jam 9.15 pagi.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Piai dan selamat dikebumikan pada jam 10.10 pagi.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu apabila ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan sebak semasa pengebumian berkenaan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang murid Tahun 2 maut, manakala ibunya cedera parah selepas kereta Toyota Vios dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan mangsa berusia lapan tahun meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tanjong Karang.
Ibu mangsa berusia 33 tahun dan pemandu lori, 58, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah hospital sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!