'Benarkan kami berniaga di tempat lama'
ALOR SETAR - Lebih 20 peniaga di Pasar Malam Jalan Putra di sini memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) terus membenarkan mereka berniaga di tapak asal berbanding berpindah ke lokasi baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penjaja Pasar Malam Jalan Putra, Parwez Ahmad Nesar Ahmad berkata, kebanyakan peniaga mencari rezeki di tapak berkenaan sejak 40 tahun yang lalu.
Katanya, lokasi baharu yang dicadangkan oleh pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak strategik dan akan menjejaskan pendapatan mereka.
"Alasan yang diberikan oleh pihak majlis (MBAS) mereka ingin membangunkan kawasan ini tetapi itu tidak bermakna kami perlu berpindah.
"Sebelum ini mereka sudah hantar kami di tapak baharu selama enam bulan, di situ tidak ada pendapatan menyebabkan kami rugi, barang jualan pun tak habis. Kami harap pihak majlis mengekalkan pasar malam ini di sini,” katanya ketika ditemui di tapak Pasar Malam Jalan Putra di sini pada Rabu.
Menurutnya, peniaga sebelum ini juga telah menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria.
"Pada 16 April lalu mereka datang berjumpa kami dan hasil perbincangan, mereka maklumkan boleh terus berniaga di sini.
"Namun pada Julai lepas kami menerima notis berpindah. Jadi kami berharap menteri besar campur tangan kerana peniaga yang terkesan dan ditindas. Minta ampun dan maaf sangat tolong campur tangan,” katanya.
Jelasnya, peniaga juga sepakat membuat laporan polis pada 10 Ogos lalu selepas PBT mengeluarkan notis perpindahan terbabit.
"Kami juga sudah menghantar memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Besar pada 12 Ogos untuk merayu campur tangannya menyelesaikan isu itu," katanya.
Sementara itu salah seorang peniaga, Norhayati Murad, 62, berkata, lokasi baharu yang terletak di Kampung Berjaya itu didakwa kurang strategik kerana tidak terletak di laluan utama.
"Kalau di tapak lama ni orang lalu lalang nampak ada pasar malam, orang singgah.Tapak baharu agak ke dalam, orang tak tau.
"Saya sudah lama berniaga pasar malam lebih 30 tahun dan sudah tiga kali berpindah dari satu tempat ke satu tempat sehinggalah di sini. Sekarang kena pindah lagi,” katanya.
Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS, Khairuddin Idris, keputusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perlesenan pada 16 Julai lepas bertujuan memberi kemudahan kepada peniaga-peniaga di tapak baharu, Kampung Berjaya.
"Tapak baharu ini lebih tersusun dengan kemudahan tempat meletak kereta yang luas dan tidak mengganggu aliran trafik. Pemakluman tarikh sebenar pasar malam tersebut akan dimaklumkan kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!