Integrasi nilai kenegaraan dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Transformasi sistem pendidikan perlu bermula dengan mengintegrasikan nilai-nilai kenegaraan dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan dalam usaha untuk membentuk generasi pemimpin masa depan yang berwibawa dan beretika, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, nilai-nilai seperti integriti, kesaksamaan dan tanggungjawab sosial perlu diajar bukan sahaja sebagai subjek moral tetapi juga sebagai asas dalam semua bidang pengajian.
"Ini dapat dicapai melalui pendekatan pembelajaran yang holistik serta penekanan terhadap metodologi penyampaian dalam sistem pendidikan negara,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau telah menghadiri dan merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.
Beliau berkata, program itu jelas mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan serta institusi pendidikan, khususnya UKM dalam memacu pembangunan negara dan memperkasakan barisan pemimpin akademik serta pentadbiran masa hadapan.
"Saya yakin dengan usaha berterusan dan kerjasama erat antara pengurusan, tenaga pengajar serta seluruh warga universiti ini, UKM akan terus unggul sebagai pusat kecemerlangan dan sumber inspirasi kepada generasi akan datang, Insya-ALLAH,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!