[VIDEO] Ops Khas JPJ: Sembilan pemandu lori positif dadah

A
A
A

GOPENG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengesan seramai sembilan pemandu lori positif dadah dalam tempoh 13 hari pelaksanaan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negeri ini sejak 1 Ogos lalu.

Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kesemua mereka yang positif dadah itu merupakan warga tempatan dan ia sebahagian daripada beberapa kesalahan dikesan sepanjang operasi berkenaan.

Jelas beliau, operasi khas tersebut turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Mohammad Yusoff
Mohammad Yusoff

"Sembilan orang yang positif dadah itu semuanya pemandu lori kerana operasi khas ini melibatkan kenderaan perdagangan dan ia amat mengejutkan kerana baru 13 hari operasi ini dilaksanakan.

"Saya melihat ia amat serius kerana kenderaan lori adalah kenderaan besar dan berat serta boleh menyebabkan berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita sempena Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguat kuasa dan Konsesi Lebuh raya Tahun 2024 di PLUS berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC Perak) di sini pada Rabu.

Kesemua pemandu yang berusia di antara 24 hingga 45 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

JAS turut memeriksa asap lori ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguat kuasa dan Konsesi Lebuh raya Tahun 2024 di PLUS berhampiran RTC Perak di sini pada Rabu.
JAS turut memeriksa asap lori ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguat kuasa dan Konsesi Lebuh raya Tahun 2024 di PLUS berhampiran RTC Perak di sini pada Rabu.

Mohammad Yusoff berkata, dalam operasi berkenaan juga pihaknya turut mengesan tiga kesalahan serius dilakukan pengguna jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan dan bas.

Menurutnya, antara yang dikesan melibatkan sebuah lori yang melakukan tujuh kesalahan iaitu pemandu tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan perdagangan (GDL), mempamerkan nombor plat kenderaan lain, tidak mengisytiharkan nombor enjin, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, perakuan Puspakom sejak tahun 2021.

Jelasnya, kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohammad Yusoff (kanan) menunjukkan besi penyendal yang tidak diikat dan diletakkan di tempat khas ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguat kuasa dan Konsesi Lebuh raya Tahun 2024 di PLUS berhampiran RTC Perak di sini pada Rabu.
Mohammad Yusoff (kanan) menunjukkan besi penyendal yang tidak diikat dan diletakkan di tempat khas ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Bersama Agensi Penguat kuasa dan Konsesi Lebuh raya Tahun 2024 di PLUS berhampiran RTC Perak di sini pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, kesalahan serius kedua dikesan melibatkan bas sekolah yang menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan milik syarikat lain digunakan untuk tujuan berlainan.

Pihaknya juga turut mengesan sebuah treler dengan membawa muatan bahaya iaitu besi penyendal yang tidak diletakkan di tempat khas dan tidak diikat memandangkan sebelum ini terdapat kes besi atau kayu penyendal terjatuh di atas jalan menyebabkan kemalangan maut pada tahun 2013 di Tapah.

"Operasi khas akan dilaksanakan secara berterusan sehingga 30 Ogos ini

"Sepanjang 13 hari operasi itu berlangsung, sebanyak 20,358 kenderaan diperiksa termasuk 6,247 kenderaan perdagangan," katanya.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 581 kenderaan perdagangan dan 1,916 ke lain-lain kenderaan diambil tindakan dengan sebanyak 10 kenderaan di sita.

Jelasnya, sebanyak 5,509 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada CDL, LKM tamat tempoh serta kesalahan teknikal membabit tayar, ubah suai kenderaan dan cermin gelap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!