Lima wanita tempatan terlibat bina kapal peronda Tentera Nigeria

Antara jurukimpal wanita terlibat dalam pembinaan kapal peronda Tentera Laut Nigeria.
Antara jurukimpal wanita terlibat dalam pembinaan kapal peronda Tentera Laut Nigeria.
A
A
A

LANGKAWI - Lima wanita berhati waja di negara ini sanggup memilih bidang kerja yang dikategorikan sebagai 3D (kotor, bahaya, sukar) sebagai jurukimpal aluminium yang lazimnya dimonopoli lelaki.

Lebih menakjubkan, mereka antara sebahagian dari 85 tenaga kerja yang terlibat dalam pembinaan kapal peronda Tentera Laut Nigeria berukuran 38 meter panjang dan tujuh meter lebar serta berkelajuan maksimum 29 knot dalam masa dua tahun.

Anak jati Langkawi, Nor Adifa Farain Razali, 22, berkata, dia tidak kisah walaupun perlu bekerja dalam suasana panas ketika mengendalikan peralatan kimpalan.

Nor Adifa
Nor Adifa

"Cabarannya, suasana sangat panas namun ia tetap membuat kita bersemangat untuk menyiapkan kapal peronda tersebut.

"Kita tidak boleh menyerah kalah walaupun berasa panas," kata anak ketiga daripada lima beradik itu ketika ditemui di Bukit Malut, di sini, pada Rabu.

Katanya, tidak berasa kekok untuk menyesuaikan diri melakukan kerja-kerja kimpalan meskipun bekerja dalam bidang didominasi lelaki.

Tambah Nor Adifa, dia tidak memiliki masalah untuk melakukan kerja terbabit memandangkan mereka bekerja secara berpasukan.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai anak tempatan, saya rasa bangga apabila ada syarikat kejuruteraan yang memiliki kepakaran membina bot dan kapal di Langkawi, sekali gus dapat menyiapkan kapal peronda untuk ketenteraan dan negara luar," kata pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Syed Sirajuddin itu.

Nor Adifa yang berhasrat menyambung pelajaran demi meneruskan impian sebagai jurukimpal dalam air berkata, dia berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian apabila syarikat tempatan mampu menyiapkan kapal peronda berkenaan.

Rakannya, Nurul Izzah Ahmad Daud, 23, mengakui berasa agak sukar pada peringkat permulaan.

Nurul Izzah
Nurul Izzah

"Mula-mula belajar memang susah namun, apabila tahu konsep dan faham maka ia menjadi mudah," katanya.

Menurutnya, pekerjaan terbabit bukanlah mudah terutamanya untuk golongan wanita memandangkan ia memerlukan kemahiran, ketelitian dan ketepatan.

"Jikalau terlebih penandaan, maka ukuran ukuran mungkin akan lari sedikit, jadi perlu ketelitian," katanya.

Nurul Izzah menambah, dia juga berasa malu ketika awal bekerja memandangkan tidak ramai wanita dalam bidang tersebut kerana didominasi lelaki.

Bagaimanapun, katanya, lama-kelamaan ia tidak menjadi masalah dan rakan sekerja lelaki juga banyak membantu mereka.

Kata anak ketiga dari empat beradik itu, dia memilih pekerjaan sebagai jurukimpal atas minat tinggi dan mendalam sejak dari kecil.

Sementara itu, wakil penyelia, Sazali Rais Moh berpandangan, tiada masalah untuk golongan wanita menceburi sektor pekerjaan terbabit.

Sazali Raiz
Sazali Raiz

Menurutnya, sekiranya diberi peluang, wanita juga mampu bekerja dengan mahir seperti golongan lelaki.

"Cumanya, mereka tidak ada pengalaman dan kita ajar dari kosong hingga mereka tahu dan mempunyai kemahiran membuat kimpalan," katanya.

Beliau mengakui, hasil kerja tenaga wanita juga sangat memuaskan dan kini setanding jurukimpal lelaki.

"Cabarannya, cuma panas memandangkan perlu menghadap benda-benda panas sebab jurukimpal dikategorikan pekerjaaan panas (hotwork)," katanya.

Beliau menambah, mereka amat gembira apabila anak tempatan diberi peluang kali kedua untuk membina kapal peronda Tentera Nigeria.

Sazali Rais berkata, tempahan kapal secara berulangan hingga menembusi peringkat antarabangsa membuktikan syarikat berkenaan mempunyai kemampuan,kemahiran, kepakaran dan keupayaan dalam sektor perkapalan, sekali gus memerlukan sokongan kerajaan.

"Kita tidak ada masalah bina kapal dan tidak ketandusan tenaga pakar serta mahir dalam sektor perkapalan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!