Cuaca panas punca pengeluaran durian menurun di Pahang

Antara yang mengambil bahagian dalam pertandingan durian kampung premium di Lipis pada tahun ini.
Antara yang mengambil bahagian dalam pertandingan durian kampung premium di Lipis pada tahun ini.
A
A
A

LIPIS - Cuaca panas berlarutan sejak awal tahun ini menyebabkan pengeluaran buah durian musim ini menurun atau kurang 'menjadi' di Pahang setakat ini.

Pengarah Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, hasil pengeluaran durian menurun hampir 50 peratus disebabkan pelbagai faktor antaranya bunga pokok itu tidak menjadi.

Menurutnya, kualiti buah juga sedikit merosot dan beberapa daerah dilihat terjejas kerana fenomena cuaca tersebut.

"Memang tahun ini agak kurang menjadi dan faktor cuaca memang memainkan peranan... Jika hujan atau panas melampau berterusan hasil pengeluaran akan terjejas," katanya lagi.

Beliau ditemui selepas Pertandingan Durian Kampung Premium sempena Hari Durian Peringkat Daerah Lipis 2024 di pekarangan pejabat pertanian daerah di sini pada Selasa.

Ujar beliau, keluasan bertanam durian Pahang pada tahun lepas membabitkan 16,718.93 hektar dengan pengeluaran sebanyak 131,308.55 membabitkan nilai kira-kira RM2.6 bilion.

Muhd Rizal (kanan) ketika mengadili buah-buah durian yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut di Lipis.
Muhd Rizal (kanan) ketika mengadili buah-buah durian yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut di Lipis.

Mengulas pertandingan tersebut yang telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu, Muhd Rizal memberitahu, setakat ini hanya durian kampung premium iaitu durian hijau Beserah, Kuantan telah didaftarkan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kekangan syarat antaranya perlu ada lima pokok dewasa telah berbuah selain pemilikan tanah sah bergeran menyebabkan 10 jenis varieti yang telah dikenal pasti setiap tahun dari setiap daerah kecuali Cameron Highlands masih belum dapat didaftarkan.

"Yang lain-lain dalam proses pendaftaran... mungkin ambil masa tiga atau empat tahun untuk didaftarkan," jelas beliau.

Mengulas pertandingan durian kampung premium di Lipis, Muhd Rizal mengakui jumlah penyertaan menurun pada tahun ini berbanding tahun lepas namun kualiti buah yang bertanding semakin tinggi.

Dalam pertandingan tersebut, durian mentega milik Jamaludin Othman, 67, dari Kg Lubuk Hik dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM300 dan hadiah iringan.

Naib juara diraih Muhammad Rahimi Zainal Abidin, 26, dari Kampung Kuala Serau dengan durian 'naga Umbang' dan tempat ketiga oleh durian enam pangsa yang diusahakan Johar Sudin, 64, dari Kampung Peruang di sini masing-masing membawa pulang RM200 dan RM100 serta hadiah iringan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!