Rasuah: Timbalan pengarah, lima penguat kuasa PBT didakwa esok

Seorang timbalan pengarah dan lima anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyaki melindungi premis pelacuran dan premis perniagaan menggunakan lesen 'ali baba' akan didakwa di mahkamah pada Khamis.. Gambar hiasan
Seorang timbalan pengarah dan lima anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyaki melindungi premis pelacuran dan premis perniagaan menggunakan lesen 'ali baba' akan didakwa di mahkamah pada Khamis.. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang timbalan pengarah dan lima anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyaki melindungi premis pelacuran dan premis perniagaan menggunakan lesen 'ali baba' akan didakwa di mahkamah pada Khamis.

Menurut sumber, pegawai kanan berkenaan bersama seorang pegawai bawahannya akan didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor, atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima wang rasuah daripada pengusaha premis pelacuran di ibu negara.

Empat lagi penguat kuasa PBT pula akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, masing-masing atas satu pertuduhan menerima rasuah bagi melindungi premis-premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen 'ali baba' di ibu negara.

"Pegawai kanan PBT berkenaan akan didakwa atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM130,000, manakala seorang pegawai bawahannya akan dituduh atas satu pertuduhan meminta wang rasuah daripada premis-premis pelacuran.

"Sementara itu, empat penguat kuasa terbabit pula didakwa kerana menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM800 daripada premis yang menggunakan lesen 'ali baba' bagi melindungi mereka daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Pada awal Jun lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan tiga penjawat awam termasuk seorang timbalan pengarah dalam satu operasi khas kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis urut dan pelacuran di ibu kota.

SPRM Kuala Lumpur kemudian menahan lapan penguat kuasa PBT pada bulan lalu kerana dipercayai menerima rasuah daripada premis-premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen yang sah serta menggunakan lesen 'ali baba'.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!