Kurangkan guna air, kapasiti dua empangan menyusut - PBAPP

Empangan Teluk Bahang yang mengalami penyusutan kapasiti efektif kerana taburan hujan yang rendah.
Empangan Teluk Bahang yang mengalami penyusutan kapasiti efektif kerana taburan hujan yang rendah.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang terletak di bahagian pulau telah menyusut di bawah paras 30 peratus berikutan taburan hujan yang rendah dan penggunaan air yang tinggi.

Sehingga 12 Ogos, kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 29.7 peratus dengan 641 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang pula, menunjukkan 26.4 peratus dengan 4,810 JL.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, pengguna di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran harus mengambil perhatian bahawa kapasiti efektif empangan yang memberikan perkhidmatan kepada mereka adalah luar biasa rendah pada bulan ini.

Oleh demikian, Pathmanathan berkata, PBAPP memohon kerjasama mereka untuk mengurangkan penggunaan air sehingga musim hujan yang dijangka pada September ini.

"September dijangka membawa hujan yang ketara ke Pulau Pinang. Bagaimanapun, disebabkan oleh perubahan iklim, jumlah taburan hujan adalah tidak menentu.

Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang sehingga 12 Ogos adalah 29.7 peratus.
Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang sehingga 12 Ogos adalah 29.7 peratus.

"Data Empangan Air Itam menunjukkan bahawa pengurangan dalam kapasiti efektif empangan telah perlahan daripada purata 0.82 peratus (17.61 JL) sehari pada Julai kepada 0.51 peratus (11 ML) sehari dalam 12 hari pertama pada Ogos 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, dalam 31 hari, bulan Julai 2024, PBAPP merekodkan hanya 48mm hujan di Kawasan Tadahan Air (KTA) Empangan Air Itam berbanding 36 milimeter (mm) dalam 12 hari pertama bulan Ogos.

Artikel Berkaitan:

"Perlu diingatkan, taburan hujan tambahan memperlahankan penurunan kapasiti efektif empangan.

"Jumlah taburan hujan yang direkodkan setakat ini tidak dapat meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam kerana PBAPP melepaskan purata 22.16JL sehari dari empangan untuk memenuhi permintaan air di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran.

"Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang ialah 18,240 JL atau 8.45 kali ganda kapasiti efektif Empangan Air Itam.

"Data menunjukkan bahawa pengurangan kapasiti berkesan Empangan Teluk Bahang telah berubah daripada purata 0.31 peratu (57.10 JL) sehari pada Julai kepada 0.27 peratus (48.33 JL) sehari pada bulan ini," katanya.

Menurut beliau, Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang adalah empangan harian.

"Air mentah dilepaskan dari empangan ini setiap hari untuk menghasilkan air terawat yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna.

"Secara teorinya, jika pengguna air mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus, rizab empangan boleh dilanjutkan sebanyak 10 peratus.

"Jika pengguna mengurangkan penggunaan sebanyak 20 peratus maka rizab selebihnya mungkin bertahan 20 peratus lebih lama. Paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai susut di bawah paras selamat 2 meter selama 24 daripada 31 hari pada Julai lalu," katanya.

Pathmanathan menambah, sejak 5 Ogos, paras air Sungai Muda telah meningkat melebihi paras 2.0m.

"Pada 12 Ogos, paras sungai dicatatkan pada 2.69m. PBAPP telah menormalkan operasi pengabstakan air mentah di Lahar Tiang. Buat masa ini, kami dapat mengabstrak air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda untuk menyokong pengeluaran air terawat yang optimum di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

"Sehubungan itu, PBAPP telah menghentikan pelepasan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) sejak 8 Ogos. Kapasiti efektif EMD berada pada 86.2 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi surat bertarikh 9 Ogos, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang bahawa pihaknya sedang menunggu nasihat dan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum menjalankan operasi pembenihan awan di Pulau Pinang.

"Nadma juga menyatakan bahawa operasi pembenihan awan adalah tertakluk kepada ketersediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!