Kaedah pajakan untuk pemperolehan aset tren KTMB

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia akan dilaksanakan dengan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia dan China.

"Dalam tempoh fasa pertama dari tahun 2024 hingga 2027, pelaksanaan dasar ini menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 billion.

"Ia akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun," katanya menerusi sidang akhbar bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dalam tempoh masa terdekat.

"Sudah tentu kita akan berunding dengan harga paling rendah," ujar beliau.

Jelasnya, terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan tren penumpang bagi setiap laluan perkhidmatan yang ditawarkan di samping memastikan setiap tren penumpang berada di dalam keadaan baik setiap masa.

"Penambahan sebanyak 62 set tren penumpang dalam Fasa 1 merangkumi 36 set Three Car (3CS), 12 6CS kereta api elektrik pelbagai unit (EMU) dan 14 set Six Car Set (6CS) kereta api diesel pelbagai unit (DMU) untuk perjalanan ke Pantai Timur," kata Anthony Loke.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway and Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan China.

"CRRC juga merupakan peneraju industri keretapi yang terkemuka dalam pasaran global baik dari segi teknologi mahupun dari segi hasil perniagaan," katanya.

Mengulas mengenai kelebihan pelaksanaan pajakan G2G itu, beliau berkata, kos pajakan akan merangkumi semua tahap penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) oleh entiti yang membekalkan tren untuk tempoh pajakan.

"Sekarang kita beli aset, tetapi tidak termasuk dengan pakej penyelenggaraan. Jadi setiap tahun kementerian terpaksa memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan khusus untuk penyelenggaraan aset KTMB," katanya.

Selain itu, ujarnya, penyelenggaraan berjadual yang dilaksanakan secara berstruktur oleh syarikat-syarikat original equipment manufacturer (OEM) akan memastikan ketersediaan dan kebolehupayaan set tren pada tahap yang cemerlang.

"Ini secara langsung dapat memastikan operasi tren lebih efisien dan selamat demi kemudahan rakyat

"Kaedah perolehan secara pajakan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding perolehan tren secara biasa," jelas beliau.

Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan komited untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030 selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019 - 2030.

Menurutnya, kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam iaitu perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu.

"Untuk perkhidmatan bas, usaha akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, serta memperkenalkan lorong khas bas bersama sistem Kuala Lumpur Autonomous Rail Transit (KL ART) dan Bus Rapid Transit (BRT).

"Rangkaian rel akan juga diperluas untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempertingkatkan pengalaman penumpang," ujar beliau.

Selain itu, katanya, kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu dan pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap.

"Bagi mencapai 80 peratus penggunaan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2030, kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030 dan menyasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren penumpang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!