'Dilantik Menteri Ekonomi, itu gurauan nakal' - Aminuddin Harun
SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan dakwaan yang mengatakan beliau akan dilantik sebagai Menteri Ekonomi adalah satu gurauan nakal.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau juga tidak berhasrat untuk ke Kabinet buat masa ini, namun ia terpulang kepada Perdana Menteri.
"Buat masa ini saya tak berhasrat nak ke Kabinet dan saya tak dengar apa-apa berita dan tidak dipanggil oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pun.
"Biasalah bila dah lama tak dengar cerita politik, jadi dia buat cerita politik dan saya yakin itu hanya gurauan senda, ini semua berita nakal," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.
Menurutnya, khabar angin itu hanya diketahuinya selepas melihat info grafik ucapan tahniah daripada UMNO Negeri Sembilan
Selain itu katanya, barisan menteri yang ada ketika ini telah menunjukkan prestasi yang baik, malah keadaan ekonomi negara juga sudah menampakkan peningkatan yang membanggakan.
Tambahnya, ia merupakan satu petanda yang baik sekali gus dapat memberi keyakinan kepada para pelabur.
"Saya yakin prestasi ekonomi sedang baik, prestasi menteri-menteri yang agak meningkat dan dalam tempoh setahun ini juga nampak peningkatan membanggakan dari segi ekonomi, ringgit dan eksport yang mana ia merupakan satu petanda amat baik, dapat meyakinkan pelabur-pelabur luar.
"Bila ada keyakinan daripada pelabur, saya yakin bahawa 'post-post' istimewa seperti ini tidak akan diganggu gugat. Itu pandangan peribadi saya," katanya.
Bagaimanapun katanya, ia adalah keputusan Perdana Menteri.
Sebelum ini media melaporkan, Anwar Ibrahim menafikan akan melakukan rombakan Kabinet membabitkan Jemaah Menterinya, tidak lama lagi.
Malah beliau berkata, pihaknya tidak mendengar sama sekali berhubung perancangan rombakan Kabinet seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Laporan portal itu turut mendakwa seorang Menteri Besar akan dilantik memegang jawatan Menteri dalam rombakan berkenaan.
Ketika ditanya dakwaan seorang Menteri Besar akan dilantik dalam Kabinet, Anwar secara berseloroh bagaimanapun berkata, perkara itu mungkin direalisasikan selepas pilihan raya.
Sementara itu, UMNO Negeri Sembilan menafikan info grafik ucapan tahniah kepada Aminuddin yang dikatakan dilantik sebagai Menteri Ekonomi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!