Bicara kes bunuh, bakar kekasih hamil bermula 23 Februari 2026
KLANG - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan perbicaraan bagi kes seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil tahun lepas akan bermula pada 23 Februari 2026.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohd Hirman Ab Raub dalam prosiding sebutan kes itu menetapkan tarikh perbicaraan membabitkan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21, bermula dari 23 hingga 27 Februari 9 hingga 13 Mac dan 30 Mac hingga 3 April 2026.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Mohd Radzuan memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memperoleh laporan psikiatri tertuduh dan memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan.
"Dianggarkan 35 hingga 40 saksi akan dipanggil. Kes ini adalah kes yang menarik perhatian (umum), jadi saya mohon (mahkamah) tetapkan tarikh bicara lebih awal,” katanya.
Mohd Hirman seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan selama 15 hari dan sebutan semula kes adalah pada 7 Oktober 2024.
Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan terhadap ketetapan tarikh perbicaraan itu.
Mahkamah Tinggi Klang pada 15 Mei lalu membenarkan permohonan Muhammad Fakrul Aiman yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil pada tahun lepas, dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
Pada 1 Jun tahun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam 22 Mei dan jam 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan perselisihan faham berkaitan kehamilan di luar nikah dipercayai menjadi punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada 22 Mei tahun lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!