Perak mohon dua mesin pengimbas suhu
IPOH - Perak telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk membekalkan dua mesin pengimbas suhu bagi tujuan saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa ke negeri ini.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, kemudahan mesin itu akan ditempatkan di pintu masuk antarabangsa Pengkalan Hulu dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh bagi melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan penularan novel koronavirus (2019-nCoV) dengan lebih berkesan.
Menurutnya, buat masa ini, kedua-dua pintu masuk berkenaan tidak mempunyai kemudahan mesin pengimbas suhu dan pengambilan suhu hanya diambil secara manual oleh petugas kesihatan.
"Di Perak belum ada peralatan seperti ini, jadi kita memerlukan sekurang-kurangnya dua mesin dengan anggaran kos RM70,000 setiap satu kerana di Pengkalan Hulu kita terima kehadiran pelancong dari Thailand dan di LTSAS ini ramai termasuklah Singapura dan sebagainya.
"Dalam mesyuarat dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, 24 Januari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak sedia mempertimbangkan untuk membekalkan dua mesin ini bagi tujuan saringan," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke LTSAS di sini hari ini.
Beliau berkata, keadaan penularan 2019-nCoV di Perak setakat ini adalah terkawal dengan hanya merekodkan seorang pesakit dimasukkan ke wad isolasi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi ujian saringan.
Katanya, pesakit warga tempatan yang bekerja di China itu telah pun disahkan negatif 2019-nCoV pada 25 Januari lalu.
"Bagi memperkukuh pengurusan kes-kes disyaki seperti ini, lima hospital pakar di Perak telah dikhaskan sebagai hospital yang menjalankan saringan iaitu Hospital Taiping, Manjung, Slim River, Teluk Intan dan HRPB yang bertanggungjawab merawat kes yang memenuhi jangkitan kriteria," katanya.
Dalam perkembangan sama, Sivanesan berkata, dalam tempoh 1 hingga 28 Januari lalu, LTSAS merekodkan kehadiran 3,585 pelancong asing dengan dua daripadanya merupakan pemegang pasport China.
"Setakat ini, tiada pelancong asing yang yang datang ke negeri ini dirujuk ke hospital bagi tujuan saringan atau jangkitan penyakit," katanya.
Hadir sama dalam lawatan berkenaan, Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, penularan virus berkenaan tidak memberi kesan pada pelaburan di negeri ini.
"Sehingga kini, pelaburan tidak terjejas dan jadual lawatan delegasi luar termasuk negara-negara jiran China seperti Taiwan dan Korea masih diteruskan datang ke negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!