Gasma syor pegawai kerajaan isytihar harta

Pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam khususnya melibatkan jawatan tertinggi perlu dilakukan bagi memastikan budaya rasuah dapat dibendung di peringkat akar umbi. (Gambar kecil: Firdaus Akbar)
Pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam khususnya melibatkan jawatan tertinggi perlu dilakukan bagi memastikan budaya rasuah dapat dibendung di peringkat akar umbi. (Gambar kecil: Firdaus Akbar)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengisytiharan harta dalam kalangan penjawat awam khususnya melibatkan jawatan tertinggi perlu dilakukan bagi memastikan budaya rasuah dapat dibendung di peringkat akar umbi.

Pegawai Tadbir Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma), Firdaus Akbar Yacob berkata, langkah tersebut penting susulan peningkatan jenayah rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Ujarnya, negara perlu mencontohi usaha-usaha yang dilakukan pentadbiran pimpinan Islam terdahulu dalam mendepani cabaran rasuah pada waktu itu.

“Saya cadangkan semua penjawat awam periksa dulu harta dan aset mereka. Kalau kita tengok balik zaman Saidina Umar Bin Al-Khattab RA bagaimana cara dia menguruskan pegawai-pegawainya.

“Setiap kali pegawai dihantar pergi atau balik ke satu tempat, dia (Saidina Umar) akan periksa harta mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Ahad, media melaporkan dua lagi pegawai penguat kuasa di sebuah jabatan di Kota Kinabalu, Sabah ditahan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.

Dalam pada itu, ulas Firdaus Akbar, pelaku rasuah terutamanya jerung besar dalam sesebuah organisasi perlu dikenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Menurutnya, kerajaan perlu memberi fokus kepada usaha memerangi golongan tersebut dengan serius berbanding tumpu pada jerung kecil sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita tangkap peringkat bawah sahaja, tetapi (pelaku peringkat) atas terlepas, perkara (aktiviti rasuah) ini memang tidak akan habis.

“Jika kita nak banteras rasuah, macam mana kita bina platform atau jalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekalipun, tetapi peringkat atasan itu kita biarkan sahaja, tidak ada guna juga,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!