MARDI perkenalkan dua varieti padi wangi tempatan
PASIR SALAK - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan dua varieti padi wangi tempatan baharu bagi meningkatkan hasil dan pendapatan petani negara.
Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail berkata, varieti MRQ107 dan MRQ 111 dapat menghasilkan beras istimewa tempatan mempunyai aroma dan tekstur nasi yang lembut.
"Kedua-dua varieti ini mampu mencapai hasil tuaian melebihi 5 metrik tan per hektar yang mana MRQ 107 boleh dituai dalam tempoh 112 hingga 115 hari selepas tabur manakala MRQ111 dapat dituai dalam tempoh 116 hingga 118 hari.
"Selain itu, kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta sesuai untuk dijadikan beras rebus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Spesialiti Baharu Mardi MRQ107 dan MRQ 111 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di Pusat Benih Padi Felcra Plantation Services Sdn Bhd, Felcra Seberang Perak di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohamed Ismi Abdul Majid dan Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holding Berhad, Abdul Razak Aya.
Menurut Azman, pelancaran varieti padi wangi baharu itu diharapkan dapat memberikan manfaat kepada pesawah dan pengguna beras spesialti tempatan.
"Di samping itu ia dapat menarik minat lebih ramai pihak untuk melibatkan diri dalam pasaran beras spesialti sekali gus memperkukuhkan industri padi dan beras negara.
"MARDI mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada pihak Felcra dan pemain-pemain industri yang lain agar dapat mengambil peluang dalam usaha mengkormesialkan varieti padi MRQ 107 dan MRQ 111 sekali gus akan dapat memperluaskan penanamannya dalam negara," katanya.
Sementara itu, Rubiah berkata, pengisytiharan kedua-dua varieti padi itu selari dengan salah satu strategi dalam Dasar Agro Makanan 2.0 iaitu memanfaatkan potensi varieti beras istimewa tempatan.
Tambah beliau, kewujudan dan kepelbagaian beras istimewa tempatan itu dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan sekitar 25 peratus daripada jumlah keseluruhan beras import.
"Menanam padi ini secara komersial, kita perlu benih jadi Felcra Seberang Perak ditugaskan oleh MARDI untuk mengeluarkan benih padi kedua-dua varieti itu dan hasilnya boleh dituai bermula hari ini membabitkan sawah berkeluasan 2.4 hektar.
"Kita harapkan dengan penanaman ni pendapatan peserta dapat ditingkatkan. Kita sasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus dari keluasan 3,400 hektar sawah di Felcra Seberang Perak akan ditanam dengan dua varieti padi baharu ini.
"Di samping itu, FGV turut menyatakan komitmen untuk memulakan penanaman MRQ 111," katanya.
Rubiah berkata, kerjasama erat kementerian bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menjamin kemampanan serta keterjaminan makanan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!