PRK Nenggiri: Asuhan, pengalaman matangkan Awie untuk jadi wakil rakyat

Ku Li (kanan sekali) turun berkempen untuk Awie di Jeram Tekoh, Gua Musang pada Rabu.
Ku Li (kanan sekali) turun berkempen untuk Awie di Jeram Tekoh, Gua Musang pada Rabu.
A
A
A

GUA MUSANG - Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yakin calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mampu menjadi wakil rakyat terbaik jika diberikan mandat oleh pengundi di Nenggiri Sabtu ini.

Beliau berkata, Mohd Azmawi Fikri atau Awie sudah menjalani satu proses pembelajaran yang baik dan mengetahui masalah rakyat.

Mohd Azmawi Fikri
Mohd Azmawi Fikri

"Ambo (saya) tok sey (tidak mahu) bandingkan calon kita (Awie) dengan calon lain (lawan). Kita cakap dari segi calon kita dari segi asuhan, ambo rasa dia itu sudah melalui proses pembelajaran dan juga melihat apa yang dituntut oleh rakyat.

"Jadi ia bukan perkara asing buat beliau (Awie). Saya berani berkata dia akan jadi seorang wakil rakyat yang baik yang boleh berkhidmat kepada rakyat jika menang nanti," katanya kepada pemberita semasa turun berkempen di Jeram Tekoh di sini pada Rabu.

Kehadiran Ku Li itu menjawab dakwaan yang dilemparkan pembangkang mengatakan Awie tidak mendapat sokongan daripada pemimpin veteran UMNO itu.

Menurut bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu, Awie merupakan pemimpin pelapis apabila diberi mandat menggalas jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Gua Musang dan Kelantan.

"Saya rasa dia (Awie) orang yang boleh diharap.

Artikel Berkaitan:

"Beliau menimbang apa juga tuntutan daripada rakyat untuk kebaikan kehidupan mereka di kawasan Gua Musang. Jadi tidak ada perkara yang baru atau asing bagi dia," katanya.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri sementara PN, Mohd Rizwadi Ismail dari Bersatu.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Dalam PRK lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!