Perkeso peruntuk RM4.6 juta tangani peningkatan kemalangan pekerja
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta bagi program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi menangani kes kemalangan di kalangan para pekerja yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso menunjukkan peningkatan dengan purata lebih 60,000 kes setahun termasuk kemalangan industri, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik tempat kerja dan penyakit khidmat.
Menurutnya, kemalangan melibatkan pekerja boleh dielakkan sekiranya terdapat usaha-usaha pencegahan yang komprehensif dengan penglibatan pelbagai pihak.
"Inisiatif pencegahan dan peningkatan kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan penting kerana setiap bencana pekerjaan merupakan kos kepada negara dan masyarakat sama ada dalam bentuk kehilangan nyawa, hilang upaya fizikal dan mental, harta benda, produktiviti malah dalam bentuk kewangan.
"Inisiatif untuk meningkatkan kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan demi menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja juga adalah selaras dengan kehendak Seksyen 40 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
"Perkeso telah meluluskan bantuan kewangan bagi program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada tahun ini sebanyak RM 4,590,514.00 kepada 37 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk institusi," katanya pada Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kewangan Perkeso kepada NGO di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan berkata, usaha dilakukan Perkeso selari dengan matlamat Majlis Negara Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan iaitu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja adalah terjamin seterusnya membudayakan amalan kerja selamat dan sihat.
Katanya, ia juga menjadi pemangkin dan pelengkap kepada pelbagai inisiatif Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan seperti yang dijalankan agensi penguatkuasaan, pembuat dasar, institusi latihan dan pusat penyelidikan.
"Geran Bantuan Kewangan Perkeso adalah berdasarkan skop dan bidang institusi dan NGO yang boleh membantu Perkeso memupuk kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam kalangan para pekerja dan majikan di Malaysia.
"Aktiviti pencegahan pada tahun 2020 turut memberi fokus kepada aktiviti pencegahan kemalangan dalam kalangan pekerja termasuk mereka yang bekerja sendiri, pekerja asing dan pekerja muda (young workers) yang juga merupakan pencarum Perkeso," katanya.
Difahamkan sebanyak 517 program dirancang di bawah peruntukan geran tersebut di mana 268 adalah untuk penganjuran seminar dan kursus manakala 215 program adalah untuk siri kursus keselamatan perjalanan.
Pada masa sama Perkeso juga memperuntukkan bantuan untuk program penyelidikan yang merangkumi 27 runding cara dan selebihnya tujuh untuk tujuan iklan, promosi dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Sementara itu Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Perkeso kini mengorak langkah ke arah pensijilan MS ISO 39001:2013 dalam usaha pencegahan kemalangan untuk mengukuhkan polisi keselamatan berkaitan jalan raya.
"Perkeso dijangka akan mendapat pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya tersebut pada awal Mac depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!