Polis tahan penganggur, rampas dadah bernilai RM2.21 juta

Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM2.21 juta dalam dua serbuan di sekitar bandar raya pada 7 Ogos lepas. Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM2.21 juta dalam dua serbuan di sekitar bandar raya pada 7 Ogos lepas. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM2.21 juta dalam dua serbuan di sekitar bandar raya pada 7 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, penganggur berumur 44 tahun itu ditahan antara jam 2 petang dan 4.30 petang, selepas polis menyerbu kereta suspek di Larkin dan sebuah rumah kedai di Taman Pelangi di sini, yang dipercayai dijadikan tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 12.66 kilogram serbuk ekstasi, 123 gram ketamin, 1,541 biji pil ekstasi serta 13 biji pil erimin 5.

"Turut dirampas ialah sebuah kenderaan, dua alat pengisar, dua keping kad berwarna kuning keemasan, pelbagai barangan kemas bernilai RM21,628 dan wang tunai RM700,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada Rabu.

Suspek kini direman sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan polis sedang berusaha mengesan seorang lagi individu dipercayai menjadi pembekal dadah kepada suspek.

Sementara itu, beliau berkata, IPD Johor Bahru Selatan telah merampas 137.49 kilogram dadah bernilai lebih RM571.3 juta susulan penahanan 2,997 suspek pelbagai kesalahan dadah sejak Januari sehingga Isnin lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!