Malaysia #QuranHour 2024 sebar luas mesej ALLAH

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi. Gambar kecil dari kiri: Robaatun Hadayiah, Aziah
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi. Gambar kecil dari kiri: Robaatun Hadayiah, Aziah
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour 2024 merupakan salah satu usaha untuk menyebarluaskan mesej ALLAH yang terdapat dalam al-Quran kepada semua lapisan masyarakat.

Naib Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Aziah Zawawi berkata, sudah pasti program tersebut akan memberi impak besar serta sangat bermanfaat untuk melakukan perubahan ke arah “MengQurankan Bangsa dan MengIkhlaskan Ummah”.

Menurut Aziah, pada tahun ini pihaknya bersama ahli jawatankuasa masjid bertungkus lumus membuat persiapan sebaik mungkin untuk menyambut 1,000 peserta yang dijangka hadir.

"Kami akan adakan forum serta tadabbur di masjid mukim (kampung) iaitu Masjid An Nur, Kota Kubang Labu, Pasir Pekan agar semua masyarakat faham al-Quran. Saya percaya orang ramai akan memberi sokongan sepenuhnya kerana ia adalah program yang murni.

"Menerusi program ini juga masyarakat dapat faham dengan lebih jelas serta membina jati diri.Insya-ALLAH, kami akan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana program yang mengajak masyarakat berinteraksi dengan al-Quran," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Robaatun Hadayiah Harun memberitahu, minat membaca al-Quran dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat menerusi program Malaysia #QuranHour.

Tambahnya lagi, jika seseorang itu mula membaca al- Quran lama kelamaan akan timbul minat terhadap kitab suci itu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila faham al-Quran, mereka akan mengamalkan dan bertambah takwa kepada ALLAH serta timbul perasaan takut untuk melakukan dosa.

"Umat Islam harus membuka minda mereka demi al-Quran kerana ia adalah kalam ALLAH yang patut difahami dan diamalkan. segala yang halal untuk kita lakukan dan haram dijauhi, semuanya ada termaktub dalam al-Quran," jelasnya.

Beliau memberitahu, Rumah Ngaji Negeri Perak sentiasa menambah bilangan peserta dari semasa ke semasa membuktikan orang ramai mula berminat dengan aktiviti ilmu sebegini.

"Semakin hari semakin besar dan ramai yang sertai program ini. Lagipun program ini sangat sinonim dengan kami sejak 2015, diadakan secara kecil-kecilan sehingga sekarang sudah hampir 10 tahun.

"Selain itu, semua sekolah yang berhampiran lokasi akan dijemput dan iklan melalui media sosial juga telah dihebahkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!