Gagal seludup sembilan guni sarang burung bernilai RM1.57 juta
SEPANG - Cubaan menyeludup sembilan guni sarang burung bernilai RM1.57 juta di zon perdagangan bebas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 31 Julai lalu berjaya digagalkan pihak berkuasa.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan keseluruhan sarang burung seberat 196 kilogram dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit lll pada jam 6.15 petang.
"Pemeriksaan dijalankan anggota bertugas di salah sebuah gudang dekat zon perdagangan bebas menemui sembilan guni mengandungi sarang burung dengan berat kasar sebanyak 196 kilogram.
"Semakan mendapati sarang burung ini diimport masuk ke Malaysia dari sebuah negara jiran tanpa memiliki permit import yang sah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam KLIA di sini pada Rabu.
Katanya, nilai barang yang dirampas melibatkan cukai sebanyak RM78,800.
"Siasatan mendapati sindiket mengimport sarang burung dari negara jiran tanpa permit import yang sah dengan cara mengisytiharkan nama syarikat ejen perkapalan sebagai konsaini di dalam dokumen penerbangan.
"Selain itu, sindiket juga menggunakan alasan penghantaran ke negara luar ke atas sarang burung tersebut selepas dagangan tersebut ditahan oleh pihak berkuasa," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!