Sheila Rusly temani bakal menantu peluk Islam
PELAKON dan penerbit terkenal, Sheila Rusly berkongsi saat manis apabila bakal menantunya, Baetrice Chitra memeluk agama Islam di sebuah masjid baru-baru ini.
Menerusi video dimuat naik di akaun Instagram miliknya, wanita berusia 52 tahun itu turut menjadi saksi saat Baetrice atau lebih mesra disapa Bae mengucap dua kalimah syahadah dengan bimbingan seorang ustaz.
"Alhamdulillah," tulis Sheila ringkas pada ruangan kapsyen.
Dalam video berkenaan, jelas kelihatan Baetrice menitiskan air mata saat selesai bergelar wanita Muslim dan begitu juga anak kedua Sheila, Luth Mikhail, 23 tahun.
Menerusi ruangan komen, rata-rata rakan selebriti turut meluahkan rasa syukur apabila keluarga bahagia itu membimbing seorang lagi hamba ALLAH SWT ke agama Islam.
Malah mereka juga tidak sabar menantikan penyatuan antara Luth yang mesra dipanggil sebagai Mika dan Bae.
“Masya-ALLAH, cantiknya. Sebak pula tengok video ini, semoga awak dan keluarga sentiasa dalam rahmat kasih sayang Allah,” kata aktres Nurkhiriah.
“Ya ALLAH, cantik sungguh aturan Allah. Semoga dipermudahkan segalanya buat Mika, Aunty Ina (Zarina) doakan berkekalan hingga ke jannah,” ujar dramatis Zarina Zainuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!