Talian Kasih 15999 terima peningkatan panggilan lebih 70 peratus

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan nombor talian tetap, telefon bimbit dan telefon awam Talian Kasih pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Junaidah Kamarruddin (kiri). - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan nombor talian tetap, telefon bimbit dan telefon awam Talian Kasih pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri KPWKM Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Junaidah Kamarruddin (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Talian Kasih 15999 menerima 25,868 panggilan pada tahun 2019 meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun sebelumnya menunjukkan semakin ramai orang awam cakna mengenai perkhidmatan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, panggilan tertinggi yang diterima Talian Kasih 15999 ialah melibatkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga.

"Kita melihat masalah terjadi apabila bapa mendera ibu, ibu pula mendera anak jadi kita mahu pecahkan kitaran keganasan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Talian Kasih 15999 adalah saluran untuk membantu masyarakat yang menghadapi masalah sosial berkaitan kebajikan, talian kanak-kanak, kaunseling, penderaan, pembuangan bayi, masalah sosial dalam kalangan remaja, perkhidmatan kesihatan reproduktif dan perlindungan kepada yang memerlukan.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Wan Azizah berkata, jumlah panggilan yang diterima agak mendatar namun hasil promosi agresif KPWKM, perkhidmatan talian itu semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Berikutan kepentingan saluran aduan tersebut kepada orang awam, KPWKM hari ini melancarkan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999 yang disediakan untuk memudahkan orang ramai khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan untuk mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan mengenai krisis masyarakat setempat.

“Saluran baharu ini akan mengukuhkan lagi pengurusan penyampaian perkhidmatan yang sesuai digunakan oleh semua golongan terutamanya generasi muda yang lebih mengutamakan penggunaan media sosial dan aplikasi terkini dalam berkomunikasi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!