Kerajaan Kelantan punca peneroka lewat dapat geran tanah - Ku Li
GUA MUSANG - Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mendakwa kerajaan negeri menjadi punca peneroka tanah rancangan termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) lewat mendapat geran.
Beliau berkata, tidak wajar meletakkan kesalahan itu di bahu agensi Kerajaan Persekutuan kerana perkara tersebut bukan bidang kuasa mereka.
"Kita kerja siang malam hendak sampaikan tanah ini kepada rakyat tetapi malangnya sampai sekarang kita tidak boleh bagi geran pada mereka.
"Walaupun kita sudah miliki geran besar kerana sudah bayar premium untuk tanah ini kepada kerajaan negeri. Namun (kerajaan negeri) berlengah-lengah tidak mahu menyelesaikan soal 'survey' untuk dijadikan lot-lot supaya kita bagi kepada peneroka," katanya kepada pemberita di Jeram Tekoh di sini pada Rabu.
Menurut beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Gua Musang, perkara itu mungkin dapat diselesaikan dengan lebih cepat jika BN mentadbir Kelantan.
Katanya, pada masa sama BN akan mengezetkan tanah adat supaya tidak diceroboh untuk tujuan pembalakan.
Isu pemilikan tanah peneroka Kesedar menjadi polemik ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Media melaporkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menegaskan isu tanah peneroka Kesedar hanya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Manakala Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pula menegaskan tanah Kesedar adalah milik agensi itu.
Katanya, Kesedar mempunyai hak untuk mengagihkan tanah kepada penerokanya kerana tanah-tanah berkenaan atas nama agensi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!