Bekalan air di Empangan Timah Tasoh dihadkan untuk kegunaan domestik

Bekalan air di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar pada masa ini dihadkan untuk kegunaan domestik dan dijangka hanya boleh bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya trend keadaan cuaca kering berterusan.
Bekalan air di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar pada masa ini dihadkan untuk kegunaan domestik dan dijangka hanya boleh bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya trend keadaan cuaca kering berterusan.
A
A
A

KANGAR - Bekalan air di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar pada masa ini dihadkan untuk kegunaan domestik dan dijangka hanya boleh bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi sekiranya trend keadaan cuaca kering berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup Perlis, Razali Saad berkata, setakat semalam bacaan aras takungan air yang direkodkan bagi empangan itu sebanyak RL26.90m, iaitu berada pada aras amaran dengan kapasiti takungan air semasa sekitar 38.5 peratus.

"Berdasarkan trend taburan hujan yang rendah dan cuaca kering di kawasan sekitar empangan sejak beberapa minggu lepas, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis melaporkan penurunan bacaan aras takungan air empangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengambil maklum keresahan 1,221 petani dalam mengenai masalah tanaman padi yang rosak dan tidak menjadi terutamanya di luar kawasan pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meliputi kawasan Titi Tinggi, Beseri, Paya dan Bintong.

"Hal ini disebabkan sumber air bagi tujuan pengairan pertanian di Empangan Timah Tasoh tidak dapat dibekalkan ke kawasan tersebut berikutan penurunan paras takungan air empangan akibat cuaca kering sejak beberapa minggu lepas,” katanya.

Razali berkata, Jabatan Pertanian Perlis dan Lembaga Pertubuhan Peladang negeri akan membuat bancian petani yang terjejas akibat cuaca kering bagi tujuan penyaluran Bantuan Tabung Bencana di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Perlis, hujan dijangka lebih kerap semasa peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut iaitu antara Ogos hingga September dan paras air di empangan itu dijangka kembali normal sekiranya hujan berlaku dengan lebih kerap dalam tempoh berkenaan.

"Bagaimanapun, sekiranya trend cuaca kering ini berpanjangan kerajaan negeri telah bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani situasi ini. Permohonan bagi operasi pembenihan awan telah dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sedang menunggu kelulusan serta penyelarasan daripada pihak yang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa yang sama kerajaan negeri melalui Exco Hal Ehwal Agama akan mengadakan solat sunat Istisqa untuk memohon diturunkan hujan di takungan Empangan Timah Tasoh,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!