[VIDEO] PRK DUN Mahkota: PN Johor serah tiga nama calon anak tempatan

A
A
A

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) Johor akan menyerahkan senarai tiga nama calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini, kepada pucuk pimpinan parti selewat-lewatnya minggu ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kesemua calon yang merupakan anak tempatan itu akan diteliti dan dinilai sebelum dimuktamadkan pimpinan di peringkat pusat.

Dr Sahruddin (tengah) selepas mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang pada petang Rabu.
Dr Sahruddin (tengah) selepas mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang pada petang Rabu.

"Alhamdulillah kami sudah ada calon daripada PN. Setakat ini ketiga-tiganya lelaki, ada yang pernah bertanding dan ada juga yang baru pertama kali bertanding.

"Kami daripada tiga parti komponen iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Pas bekerjasama untuk memenangkan calon PN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang di Taman Saujana Kluang pada Rabu.

Pimpinan PN Johor mengadakan mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang pada petang Rabu.
Pimpinan PN Johor mengadakan mesyuarat persiapan PRK DUN Mahkota di Pejabat Bersatu Kluang pada petang Rabu.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Johor, Datuk Teo Kok Chee; Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Abdullah Husin dan Bendahari PN Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai keyakinan menang di DUN Mahkota, beliau berkata, peralihan sokongan rakyat kepada pembangkang akan berlaku berikutan isu besar seperti kenaikan harga barang.

DR SAHRUDDIN
DR SAHRUDDIN

"Saya yakin di DUN Mahkota akan berlaku 'swing' atau peralihan sokongan rakyat kepada PN meskipun di Johor, Barisan Nasional (BN) memiliki 40 kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN).

"Ia berdasarkan sentimen isu-isu semasa termasuk kenaikan harga barang, diesel dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST)," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu menambah persiapan rapi sudah dilakukan untuk PRK DUN Mahkota termasuk menyiapkan bahagian angkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Pada Selasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada 28 September.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.

PRK DUN Mahkota merupakan PRK kesepuluh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional (BN) menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!