Pemuda Pas buat laporan polis, nafi edar arak kepada Orang Asli

Mohd Kamal menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat pada jam 1.54 tengah hati pada Rabu.
Mohd Kamal menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat pada jam 1.54 tengah hati pada Rabu.
A
A
A

GUA MUSANG - Pemuda Pas Kelantan pada Rabu membuat laporan polis kerana mendakwa seorang pempengaruh media sosial menuduh parti itu mengedarkan arak kepada Orang Asli.

Ketuanya, Mohd Kamal Mohamed mendakwa, tuduhan berkenaan dilakukan pengerusi sebuah pertubuhan itu menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok.

"Video itu mengandungi ucapan seorang individu Orang Asli dan tulisan tertera 'Pemuda Pas Beri Arak Kepada Orang Asli' dengan latar belakang bendera Pas.

"Dakwaan dalam video itu bagi kami untuk memfitnah Pas," katanya kepada Sinar Harian.

Lebih 30 pemimpin dan ahli Pemuda Pas Kelantan turut berkumpul sejurus laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada jam 1.54 tengah hari.

Pemuda Pas Kelantan yang diwakili Mohd Kamal menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Gua Musang pada petang Rabu.
Pemuda Pas Kelantan yang diwakili Mohd Kamal menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Gua Musang pada petang Rabu.

Mohd Kamal mendakwa, individu itu juga membuat tuduhan kepada Pas berkait perlombongan selain tersebar tuduhan menerusi risalah mengenai kononnya kerajaan negeri memberi kelulusan teroka hutan di Gua Musang tahun ini sebanyak 13,354 hektar.

"Kita menafikan sekeras-kerasnya dan meminta pihak polis menyiasat serta mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat membuat fitnah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamal memberitahu, bagi tuduhan berkait kelulusan penerokaan hutan, pihaknya telah menyerahkan perkara tersebut kepada peguam parti.

Tegasnya, peguam akan mengambil tindakan seterusnya dengan menyaman pihak yang sengaja melontarkan fitnah sebegitu ketika musim kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri ketika ini.

"Kita buat laporan polis ini sebab nak proses pilihan raya kita bersih, tidak ada tohmahan dan tuduhan jahat dengan tujuan untuk menarik undi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!