Cakap bawa sarang burung padahal sembunyikan dadah

Norlela (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah disembunyikan dalam bagasi yang berjaya dirampas menerusi tangkapan seorang wanita di balai ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Ogos lalu.
Norlela (tiga dari kanan) menunjukkan antara dadah disembunyikan dalam bagasi yang berjaya dirampas menerusi tangkapan seorang wanita di balai ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Ogos lalu.
A
A
A

SEPANG - Helah seorang wanita membawa dadah yang disembunyikan di dalam bagasi terbongkar ketika ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Ogos lalu.

Wanita warga tempatan terbabit menaiki penerbangan tempatan dari Bangkok, Thailand.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang Terminal 1 pada jam 2.15 pagi.

Beliau berkata, hasil pengimbasan mendapati terdapat barang larangan yang disyaki dadah telah dimuatkan di dalam bagasi tersebut.

Antara rokok putih diikrarkan sebagai pakaian yang dirampas di zon perdagangan bebas, Kompleks Kargo KLIA pada 9 Julai lalu.
Antara rokok putih diikrarkan sebagai pakaian yang dirampas di zon perdagangan bebas, Kompleks Kargo KLIA pada 9 Julai lalu.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, penumpang tersebut menyatakan kepada pegawai bertugas bahawa dia hanya membawa sarang burung.

"Bagaimanapun, pegawai kastam kemudiannya menemukan sebanyak 27 bungkusan lutsinar yang mengandungi gumpalan bahan tumbuhan dipercayai ganja dalam bagasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam KLIA di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ujian awal ke atas gumpalan bahan tumbuhan tersebut mendapati ia adalah dadah jenis ganja dengan anggaran berat kasar 15.3 kilogram.

"Nilai dadah tersebut dianggarkan RM55,530 dan kita dapati penyeludupan ini menggunakan taktik dengan menyembunyikan dalam bagasi jenis aluminium dan mengikrar sebagai sarang burung untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam sidang akhbar sama, Norlela berkata, pihaknya merampas 322,000 batang rokok putih menerusi pemeriksaan di zon perdagangan bebas, Kompleks Kargo KLIA pada 9 Julai lalu kira-kira jam 9 malam.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan ini diperolehi susulan pemeriksaan melibatkan empat palet dagangan yang memuatkan 46 master case.

"Semakan atas kesemua master case berkenaan menemui 322,000 batang rokok selain pakaian terdiri daripada baju kasual dan baju sejuk.

"Rokok putih ini dipercayai masuk ke dalam Kawasan Zon Bebas KLIA tanpa permit yang sah dan telah menggunakan cara perkhidmatan penghantaran melalui kargo serta diikrar sebagai pakaian," katanya.

Jelasnya, nilai barang yang dirampas dianggarkan berjumlah RM32,000 dan membabitkan duti dan cukai sebanyak RM215,740.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957 iaitu mengimport barang larangan tanpa permit yang sah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!