Maimunah wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur

Maimunah
Maimunah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita Asia pertama memegang jawatan Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat), Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa pada Khamis.

Pelantikan Maimunah, 63, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Pelantikan itu menyaksikan beliau wanita pertama akan menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau yakin pelantikan Maimunah dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin DBKL dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur maju dan sejahtera.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Zaliha, Maimunah mempunyai pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Jelas beliau, Maimunah adalah individu bertanggungjawab mengembalikan kedudukan UN-Habitat sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan selama enam tahun.

"Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Secretary-General’s Task Force on the Future Cities dan Pengerusi Bersama Local 2030 Coalition.

Artikel Berkaitan:

"Kini, beliau dilantik sebagai Penasihat kepada International Council for Local Environment Initiative (ICLEI)," jelas beliau.

Maimunah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom sebelum melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!