Polis terima laporan penyanyi hilang

Asisten Komisioner Cha Hoong Fong. Gambar kanan: Muhammad Nidza Afham
Asisten Komisioner Cha Hoong Fong. Gambar kanan: Muhammad Nidza Afham
A
A
A

KLANG - Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, dilaporkan hilang sejak Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu pada jam 4.22 pagi, Rabu.

"Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan telah keluar rumah di Bandar Puteri di sini pada jam 7.45 malam, Selasa dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman untuk joging," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hoong Fong berkata, teman wanita Muhammad Nidza Afham telah menghubunginya pada jam 9.04 malam, namun panggilan itu tidak dapat disambungkan.

"Wanita itu mendapati lokasi terakhir keberadaan teman lelakinya melalui aplikasi 'find my iPhone' adalah di Jambatan Kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang.

"Adik kepada lelaki itu telah pergi ke lokasi terakhir itu dan telah menjumpai satu telefon bimbit jenis iPhone dan dompet berisi dokumen milik Muhammad Nidza Afham seperti kad pengenalan dan kad pelajar kecuali kad mesin juruwang automatik (ATM) yang telah hilang," katanya.

Beliau berkata, pakaian terakhir dilihat adalah baju biru dan hitam.

"Lelaki itu berbadan kurus, berkulit sawa matang dan berambut pendek.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang ini diminta untuk menyalurkannya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan penyanyi, Aufahanie memohon menjejaki abangnya, Muhammad Nidza Afham yang dilaporkan hilang.

Muhammad Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!