94 institusi agama bawah HESA belum berdaftar

Mohd Azam (kanan) menerima cenderahati ketika hadir mewakili Muhammad Sanusi semasa Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah Tahun 2024.
Mohd Azam (kanan) menerima cenderahati ketika hadir mewakili Muhammad Sanusi semasa Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah Tahun 2024.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah menggesa 94 institusi bawah Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) untuk mendaftar bagi mematuhi standard pendidikan sekali gus memenuhi langkah keselamatan dan mengelakkan keciciran.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia juga bagi menjaga kebajikan dalam membantu institusi agama berfungsi dengan baik dan sistematik melalui dana pembaikan serta penyelenggaraan bangunan selain latihan dan bimbingan kepada tenaga pengajar yang disediakan.

Menurutnya, sekiranya berdaftar, data murid dan guru akan disimpan dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam iaitu pengisian elektronik berdasarkan standard kebangsaan di mana dapat mengesan keberadaan murid di sekolah berdaftar dan mengurangkan keciciran.

Mohd Azam (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada wakil institusi agama sempena Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat pada Rabu.
Mohd Azam (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada wakil institusi agama sempena Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat pada Rabu.

"Sekolah yang berdaftar akan melalui proses pemeriksaan keselamatan dan kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana terdapat kebakaran yang melibatkan pondok dan maahad tahfiz.

"Apabila membabitkan isu keselamatan, ini boleh menjejaskan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah agama dan jika hal ini tidak diambil berat, akan menjejaskan matlamat kita untuk meningkatkan pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda dan akan datang,"katanya.

Teks ucapan Muhammad Sanusi dibaca Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Datuk Mohd Azam Abdul Samat sempena Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah Tahun 2024 di sini pada Rabu.

Jelas Muhammad Sanusi, perkara berkenaan perlu diambil berat kerana kebakaran yang melibatkan pondok dan sekolah agama boleh mengancam nyawa dan mencalarkan imej institusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, jelasnya, walaupun masih menunggu proses pendaftaran, pihaknya memutuskan untuk turut menyampaikan bantuan kepada 94 institusi pengajian terbabit.

"Sebanyak 94 institusi ini akan menerima bantuan operasi sebanyak RM3,000 bagi setiap satu dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM282,000.

"Dalam kesempatan sama, saya ingin menyeru kepada 94 institusi ini supaya dapat mendaftar segera bagi memudahkan penyaluran bantuan selain memanfaatkan fungsi lain pada masa akan datang,"katanya.

Mohd Azam (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada wakil institusi agama sempena Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat pada Rabu.
Mohd Azam (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada wakil institusi agama sempena Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat pada Rabu.

Pada penyampaian kali ini, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1.287 juta sebagai pemberian bantuan operasi kepada institusi pendidikan Islam di Kedah.

Peruntukan itu melibatkan 45 sekolah rendah agama rakyat dan 36 sekolah menengah agama rakyat yang berdaftar dengan jumlah RM5,000 setiap sekolah dan peruntukan keseluruhan sebanyak RM405,000.

Bagi maahad tahfiz pula, sebanyak 120 buah yang berdaftar akan menerima bantuan operasi sebanyak RM5,000 bagi setiap sekolah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM600,000.

"Saya berharap wang bantuan operasi dan wakalah ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan digunakan untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran institusi agama.

"Walaupun tak banyak mana tapi sekurang-kurangnya dapat juga serba sedikit membantu kewangan pengurusan pondok, sekolah agama rakyat dan pusat tahfiz," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!