Bapa laungkan azan di jambatan usaha kesan Nidza Afham
KLANG - Pelbagai ikhtiar dilakukan dalam usaha mengesan dan mencari penyanyi, Nidza Afham yang dipercayai hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, di sini pada Selasa malam.
Antara usaha mencari bekas peserta 'I Can See Your Voice Malaysia' musim ketiga itu dengan mengalunkan azan di Jambatan Sungai Klang.
Video laungan azan oleh bapa Nidza Afham itu dimuat naik adik penyanyi itu, Aufahanie di platform media sosial X.
Dimuat naik di platform X jam 3.31 petang, video Aufahanie itu meraih lebih 420,000 tontonan dan 3,324 perkongsian.
Sementara itu, abang ipar Nidza Afham, Effie Amron berkata, kehilangan adik iparnya yang mesra disapa Apam tiada unsur pergaduhan atau terlibat dengan sebarang kes pinjaman wang dengan pemungut hutang 'along'.
Dalam satu hantaran dimuat naik di media sosial, Effie berkata, dua unsur tersebut didakwa tidak ada setelah mereka sekeluarga memeriksa telefon bimbit Apam yang ditemukan di atas Jambatan Sungai Klang.
Katanya, semuanya dalam keadaan baik dan adik iparnya itu juga berjaya menghabiskan larian di stadium.
Menurutnya, Nidza Afham bagaimanapun gagal dihubungi sejak jam 9.13 malam.
"Moga kalian dapat doakan keselamatan adik saya dan segera ditemui dalam keadaan selamat. Amin Ya Rabb," katanya dalam satu kenyataan media sosial pada Rabu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan abang sulung Nidza, Mohd Nidza Irfan Mokhtar memaklumkan pihaknya ada melihat kelibat Apam dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, berdasarkan rakaman CCTV itu, lokasi terakhir kelibat Nidza dilihat berada berhampiran Gereja St Barnabas pada jam 9.06 malam Selasa.
@sinarharianonline Ahli keluarga Nidza Afham melaungkan azan di jambatan Sungai Klang dalam usaha mencarinya setelah dilaporkan hilang selepas keluar jogging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam tadi. Video dimuat naik di aplikasi X, Efahanie tular di media sosial dan rata-rata netizen mendoakan agar penyanyi berusia 23 tahun itu ditemukan. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Nidza Afham. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang ini diminta untuk menyalurkannya terus Ibu Pejabat Polis Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. #SinarHarian #SinarTerkini #NidzaAfham #VideoViral
original sound - Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!