Tidak perlu bimbang makan kupang dari Port Dickson -Aminuddin

Masyarakat tidak perlu khuatir untuk membeli dan memakan kupang dari perairan Port Dickson.
Masyarakat tidak perlu khuatir untuk membeli dan memakan kupang dari perairan Port Dickson.
A
A
A

SEREMBAN - Masyarakat tidak perlu khuatir untuk membeli dan memakan kupang dari perairan Port Dickson, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu was-was kerana kajian telah dilakukan bagi tempoh yang panjang antara enam ke lapan bulan dan penurunan tahap biotoksin sudah ke paras selamat.

"Larangan penuaian dan penjualan telah ditarik balik menunjukkan kupang itu boleh dimakan. Kita harap sungai dan laut dijaga supaya tidak tercemar. Ini antara faktor yang beri kesan tempoh hari," katanya pada sidang media Pasca Mesyuarat Mingguan Exco Bulan Ogos Tahun 2024 di sini pada Rabu.

Beliau berkata, para penternak dan nelayan juga digalakkan untuk meneruskan aktiviti penjualan kupang untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, Jabatan Perikanan Malaysia menarik balik larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson dan Melaka berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Hasil pemantauan dan analisis makmal, bacaan biotoksin menunjukkan penurunan di bawah 400 per bilion (ppb) bagi sampel ke-15.

Pada 4 April lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Aznan Abdullah berkata, hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Sementara itu, Aminudddin berkata, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah dan tanah menyelesaikan isu banjir melibatkan beberapa kawasan di Port Dickson termasuk menjalankan pembinaan anak sungai baharu bagi memastikan saliran perparitan berfungsi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga dimaklumkan ada ban pecah ketika banjir akibat hujan lebat selama empat jam dan kerja pembersihan bermula hari ini di Lukut hingga ke Sungai Bukit Palong.

"Pihak Jabatan Kerja Raya juga akan memastikan saliran tidak tersekat di persimpangan Lukut yang menjadi antara punca banjir.

"Kerja mendalamkan serta menaik taraf sungai perlu dilakukan segera bagi mengelakkan banjir dan kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!