'Ibu nak pergi selamatkan Achik, Achik panggil'

Pihak bomba yang menjalankan siasatan di lokasi kebakaran sebuah rumah di Tanah Merah. Gambar kanan: Allahyarham Mohammad Nor Syahid Faridzuan.
Pihak bomba yang menjalankan siasatan di lokasi kebakaran sebuah rumah di Tanah Merah. Gambar kanan: Allahyarham Mohammad Nor Syahid Faridzuan.
A
A
A

TANAH MERAH - “Ibu nak pergi dekat Achik, Achik panggil.”

Itu rintihan sayu seorang ibu yang cuba untuk meredah ke arah api marak bagi menyelamatkan anaknya dalam kebakaran di sebuah rumah di Lorong Nimar 500, Jalan Kadir Adabi, di sini, pada Rabu.

Wanita terbabit, Noraini Idris, 57, bagaimanapun dihalang orang ramai yang berada di lokasi kejadian yang meragut nyawa salah seorang anak kembarnya, Mohammad Nor Syahid Faridzuan Mohd Sukri, 27.

Bapa mangsa, Mohd Sukri Ismail, 60, berkata, isterinya meraung-raung mahu mendekati rumah mereka yang terbakar sambil berulang kali menyebut anak ketiga daripada tujuh beradik mesra disapa Achik itu memanggil-manggilnya.

Mohd Sukri (kanan) yang ditemui pemberita di lokasi kebakaran di Tanah Merah pada Rabu.
Mohd Sukri (kanan) yang ditemui pemberita di lokasi kebakaran di Tanah Merah pada Rabu.

“Saya yang berada dalam jarak lebih dekat pun dah tidak boleh masuk ke rumah dua tingkat ini kerana api terlalu marak membakar dari bahagian belakang dan dinding kayu di belah atas.

“Anak saya tidur di dalam bilik di tingkat atas itu dan ketika saya sampai, sudah tidak mendengar apa-apa suaranya.

"Mungkin dia tak menyedari kebakaran berlaku kerana biasanya dia tidur dengan memasang fon telinga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Tanah Merah.
Mayat mangsa dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Tanah Merah.

Menceritakan detik itu, Mohd Sukri berkata, dia dan Noraini bersama dua lagi cucu perempuan berusia dua serta empat tahun keluar dari rumah untuk ke rumah rakannya di Kampung Cawat, di sini, pada jam 11 pagi dengan meninggalkan Mohammad Nor Syahid Faridzuan yang sedang tidur.

Kata pesara itu, tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan daripada penghantar barang yang berada di depan rumahnya kerana mahu menghantar barangan dipesan sebelum memberitahu terhidu bau hangit.

“Lelaki penghantar barang itu memberitahu ada asap dan berbau hangit menyebabkan saya bergegas pulang.

“Sebaik sampai di depan rumah, saya lihat api sudah marak dan kami tidak dapat berbuat apa-apa.

"Kami hanya mampu memberitahu anak kami ada di dalam rumah yang terbakar, sedang tidur,” ujarnya.

Mohd Sukri sekeluarga bagaimanapun reda dengan kejadian itu dan masih terkejut dengan ketentuan yang perlu diterima olehnya.

Abang sulung mangsa, Mohammad Norsyahidfuddin menunjukkan gambar Allahyarham Mohammad Nor Syahid Faridzuan.
Abang sulung mangsa, Mohammad Norsyahidfuddin menunjukkan gambar Allahyarham Mohammad Nor Syahid Faridzuan.

Menurutnya, Allahyarham yang masih bujang itu ialah abang kembar kepada Mohammad Nor Syahid Firdaus yang sudah berkahwin dan menetap serta bekerja di Putrajaya.

Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang baik serta penyayang dengan anak-anak saudara selain memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang dan penyiasatan dari Kolej Universiti Saito sejak dua tahun lalu.

“Dia baru sahaja lulus ujian fizikal bagi menjawat jawatan sebagai penjawat awam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang didudukinya, bulan lalu.

“Dia kini menunggu keputusan panggilan temuduga bersemuka, namun ALLAH lebih mengetahui segalanya terlebih dahulu menjemput dan menyayanginya,” kata Mohd Sukri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohammad Nor Syahid Faridzuan ditemukan rentung di rumah bahagian bawah.

Mayatnya dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!