Emas wushu permulaan misi juara Sarawak

Atlet wushu Sarawak Stephanie Chai Ern Ngu memenangi pingat emas dalam acara Changquan wanita.
Atlet wushu Sarawak Stephanie Chai Ern Ngu memenangi pingat emas dalam acara Changquan wanita.
A
A
A

KONTINJEN Sarawak yang menyasarkan untuk muncul juara keseluruhan berjaya memenangi pingat emas pertama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 menerusi atlet wushu Stephanie Ngu Chai Ern dalam acara changquan wanita di sini hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu mengungguli saingan final selepas mengutip mata tertinggi 9.603 sekali gus menamatkan penantian untuk merangkul kilauan emas Sukma dalam penampilan keempatnya di temasya sukan berprestij itu sejak membuat debut pada edisi 2016.

Pingat perak acara itu menjadi milik Lee Jia Rong dari Johor yang mengumpul 9.600 mata dan atlet Melaka Kelly Chin Sy Jie terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 9.586 mata.

Kejayaan itu dilihat sebagai pemangkin semangat dan permulaan buat kontinjen Sarawak yang memburu gelaran juara keseluruhan dengan menyasarkan pungutan sekurang-kurangnya 70 emas.

Pada masa sama, Melaka mula mempamerkan taringnya selepas menggondol dua emas dalam acara nanquan lelaki dan wanita masing-masing menerusi Bryan Ti Kai Jie dan Tan Pei Ler yang mempertahankan gelaran mereka.

Bryan yang merupakan pemenang dua pingat emas kejohanan remaja dunia 2022 di Indonesia mengatasi atlet Perak Foo Mun Fei (pingat perak) dan atlet Sarawak Fung Tai Leong (gangsa).

Pei Ler pula mengecewakan Eunice Pang Wei En dari Johor yang terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan 9.496 mata sementara gangsa menjadi milik atlet Pulau Pinang Gilian Ong Ying Sze selepas mengumpul 9.493 mata.

Sementara itu, Selangor turut menuai pingat emas pertama mereka selepas Mandy Cabelle Chen menguasai final taijijian wanita dengan pungutan mata 9.603, diikuti perak milik Carmen Chaw Jia Min dari Sarawak (9.530 mata) dan gangsa diraih Kwan Yong Xin dari Wilayah Persekutuan dengan 9.490 mata.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pulau Pinang turut mencuri tumpuan selepas Muhammad Danish Aizad Mohd Firdaus Chua memenangi emas changquan lelaki dengan pungutan 9.620 mata sekali gus menafikan peluang rakan senegeri Lim Jue Xin yang meraih perak (9.596 mata) diikuti Walid Lachkar dari Brunei gangsa (9.580 mata).

Penutup tirai emas hari ini menyaksikan Lee Cheng Yang mengharumkan nama Wilayah Persekutuan selepas mengungguli final taijijian lelaki selepas mengumpul 9.563 mata, diikuti Eng Ying Sin dari Pulau Pinang merangkul perak (9.523 mata) dan atlet Perak Hii Yuan gangsa (9.516 mata).

Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula hari ini.

Esok, lapan pingat menjadi rebutan iaitu acara lelaki dan wanita taijiquan, nangun, jianshu dan daoshu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!