Anggota polis cederakan OKU sudah dikenakan tindakan tatatertib - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anggota polis yang disyaki mencederakan pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di sini, pada 28 Mei lalu, telah dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu dilaksanakan serta-merta susulan siasatan dalaman yang dijalankan oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), awal Jun lalu.

"Mana-mana anggota yang melakukan kesalahan tatatertib berhadapan dengan pelbagai tindakan seperti amaran, tahan kenaikan gaji, gantung kerja dan diturunkan pangkat.

"Tindakan terhadap anggota yang melakukan kesalahan itu sudah dilaksanakan pada peringkat awal lagi sebaik JIPS selesai menjalankan siasatan dalaman," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Kata beliau, siasatan terhadap anggota polis itu juga turut dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

"PDRM tidak pernah melindungi mana-mana pegawai atau anggota polis yang melakukan apa juga kesalahan," tegasnya.

Razarudin mengulas perkara itu susulan kenyataan peguam N Surendran, yang mewakili mangsa pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong, 48, yang mempersoalkan tindakan oleh pihak polis dan pejabat Peguam Negara dalam kes berkenaan.

Surendran berkata, selepas lebih dua bulan, tiada sebarang tindakan dilakukan terhadap suspek yang disyaki mencederakan Ing Keong.

Artikel Berkaitan:

Dia juga turut mendakwa sudah mengajukan persoalan sama kepada Peguam Negara, namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.

Dalam kejadian itu, Ing Keong, membuat laporan polis dicederakan juru iring kepada orang kenamaan semasa dia sedang berhenti untuk mengambil penumpang di hotel berkenaan.

Seminggu selepas kejadian iaitu pada 5 Jun lalu, Razarudin mengesahkan bahawa polis sudah melengkapkan kertas siasatan serta sudah merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

Kertas siasatan telah di hantar semula ke pejabat TPR selepas mendapat arahan siasatan lanjut pada 22 Julai lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!