Khairul Aming sekali lagi jadi mangsa ‘deepfake’
PEMPENGARUH media sosial, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, mendedahkan dirinya sekali lagi menjadi mangsa aplikasi digital dipacu teknologi kepintaran buatan (AI) yang dikenali sebagai ‘deepfake’ dalam satu video baru-baru ini.
Menerusi video penjelasan yang dikongsikan di platform X milik Khairul Aming itu, wajah dan suaranya telah diubah suai menggunakan teknologi tersebut.
Selain mengubah suai, video berkenaan turut disunting bagi mempromosikan sebuah produk peralatan dapur.
Khairul Aming berkata, perbuatan berkenaan dibimbangi membawa kesan buruk dan mengundang kepada fitnah.
Ujarnya, kejadian sama pernah berlaku sebelum ini, di mana wajahnya turut diubah suai melalui perisian komputer, Photoshop.
“Hari itu bermula dengan Photoshop. Sekarang sampai suara aku pun jadi AI.
“Bayangkan berapa banyak benda boleh jadi fitnah nanti,” katanya dalam hantaran di platform X pada Rabu.
Tahun lalu, tular beberapa hantaran berkaitan promosi Apple Watch palsu yang ditaja oleh seseorang individu dengan menyamar sebagai pempengaruh seperti Khairul Aming, Aeril Zafrel dan Aznil Hj Nawawi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!