Paralimpik 2024: Liek Hou berguru dengan empat pemain normal

Liek Hou
Liek Hou
A
A
A

EMPAT pemain normal 'direkrut' jurulatih Nova Armada bagi membantu jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mempertahankan emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bagi edisi Paris 2024.

Liek Hou yang beraksi bagi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) berkata, bekas pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aidil Sholeh Ali Sadikin, merupakan antara empat pemain normal yang membantunya pada kem latihan akhir di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

“Persiapan ke Paris 2024 memang sangat bagus sebab rakan sepelatih bukan satu hingga dua pemain sahaja namun kali ini ada empat termasuk Aidil Sholeh. Dia baru sahaja keluar dari BAM dan tahap pernah main peringkat tertinggi seperti Jelajah Dunia, jadi dari situ dapat belajar banyak strategi serta pukulan.

“Kali ini agak berbeza dengan persiapan untuk Tokyo 2020 di mana ketika itu latihan terkawal sebab Covid-19 dan hanya boleh bawa satu hingga dua rakan sepelatih,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024 Datuk R. Subramaniam pada Rabu.

Pemain nombor satu dunia itu juga berkata, pengalaman beraksi di Sukan Paralimpik 2020 membantunya untuk mengawal sebarang tekanan ketika berjuang di Paris 2024.

Juara dunia lapan kali itu turut berharap agar pihak Majlis Paralimpik Malaysia dapat menyediakan sebuah penghawa dingin mudah alih kepada semua atlet negara untuk diletakkan di dalam bilik masing-masing sewaktu menetap di perkampungan sukan susulan cuaca panas yang mungkin berlaku sepanjang temasya sukan berprestij tersebut berlangsung.

Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Muhammad Fareez Anuar pula mengintai peluang untuk membawa pulang pingat tanpa mengira warna pada penampilan sulungnya di pentas Paralimpik bagi edisi Paris 2024.

Pemain keempat dunia itu juga bersedia menentang sesiapa sahaja termasuk Liek Hou seandainya mereka berdua ditakdirkan bertemu di pentas final di Porte de la Chapelle Arena.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih tunggu undian juga, if jumpa dalam kumpulan sekali pun di separuh akhir ada kemungkinan jumpa balik sebab akan undian semula...mahu tidak mahu saya perlu hadap segalanya,” katanya.

Mengikut format pertandingan, juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir.

Sementara itu, Nova berharap kedua-dua pemain tersebut dapat mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan peluang mereka di Paris 2024.

INFO

Sukan Paralimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 28 Ogos sehingga 8 September depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!