Sukma 2024: Sabah, Pahang kongsi mata

Tonggak Sabah Adlin Bandi mengasak pemain Pahang pada aksi pembukaan Kumpulan A saingan bola sepak wanita Sukma Sarawak 2024 pada Rabu.
Tonggak Sabah Adlin Bandi mengasak pemain Pahang pada aksi pembukaan Kumpulan A saingan bola sepak wanita Sukma Sarawak 2024 pada Rabu.
A
A
A

HASRAT pasukan pilihan, Sabah untuk mencatat permulaan sempurna tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 menentang Pahang pada aksi pembukaan Kumpulan A saingan bola sepak wanita Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 pada Rabu.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun buntu untuk mendapatkan gol sehingga tamat separuh masa.

Bersambung babak kedua, Pahang menghidupkan peluang meraih kemenangan selepas mendahului Sabah menerusi jaringan pemain sayap, Zarith Sofea Nor Azri pada minit ke-79.

Namun, keghairahan skuad bimbingan Mohd Zerry Nazeri itu kemudian dihukum Sabah yang berjaya menyamakan kedudukan pada lewat permainan hasil penyudah Rocillyeka Lole pada minit ke-90.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Mohd Zerry mahu anak buahnya lebih fokus apabila menentang pasukan tuan rumah Sarawak pada aksi kedua kumpulan Jumaat ini.

“Walaupun beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan tidak sihat, mereka masih bersemangat untuk mencatat kemenangan menentang tuan rumah nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih Sabah, Petronella Douny berkata, barisan pemainnya akan memperbaiki gerakan penyudah untuk mencatat kemenangan apabila berdepan Sarawak dalam aksi kedua Kumpulan A pada Isnin ini.

“Kami belum pernah bertemu pasukan tuan rumah tetapi yang pasti kami mahukan kemenangan untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, saingan Kumpulan B menyaksikan Selangor membelasah Wilayah Persekutuan 6-0 di Padang D, Petra Jaya.

Pulau Pinang yang turut berada dalam kumpulan sama dijadual menentang Wilayah Persekutuan pada Jumaat ini dan Selangor, Ahad ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!