Sukma 2024: Meter basikal rosak tak halang Ci Hui raih emas
METER basikal yang tidak berfungsi dengan baik tidak menghalang pelumba Perak, Nyo Ci Hui untuk meraih pingat emas dalam acara ujian masa individu wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada Rabu.
Ci Hui yang juga pelumba kebangsaan berusia 20 tahun itu berkata dia seakan-akan mengayuh basikal secara 'buta' kerana meter basikal miliknya gagal menunjukkan kelajuan sepanjang perlumbaan itu.
“Tadi semasa mula perlumbaan saya lihat meter saya rosak dan satelit tidak boleh connect mungkin kerana faktor lokasi. Jadi sepanjang jalan saya tidak boleh pantau kelajuan dan ini memang cabaran besar.
“Saya cuma boleh pantau cadence dan denyutan jantung saya sahaja memang macam kayuh 'buta' saja tadi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara tersebut.
Ci Hui berkata, selain berdepan cabaran meter tidak berfungsi beliau juga berdepan cabaran lain seperti kehilangan botol air dan jam yang jatuh semasa perlumbaan.
”Selain botol air dan jam yang jatuh, semasa penghujung perlumbaan saya juga hampir dilanggar oleh kereta tetapi sempat untuk saya elak,” katanya.
Perlumbaan sejauh 28.3 kilometer di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem menyaksikan pelumba itu menepati ramalan apabila mengungguli acara berkenaan dengan catatan masa 41 minit 10.793 saat (s)
Pelumba Wilayah Persekutuan Yeong Zhen Yi pula meraih perak dengan merekodkan masa 42:43.860s, manakala Nur Fitrah Shaari dari Kedah melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan catatan 43:19.462s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!