Melaka dahului kedudukan pingat Sukma 2024
KONTINJEN Melaka mendahului carta kutipan pingat Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 selepas merangkul dua emas pada Rabu.
Kedua-dua emas itu hadir di gelanggang wushu di Dewan Wushu Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Petra Jaya menerusi Bryan Ti Kai Jie yang juga pemenang emas pertama pada temasya kali ini.
Satu lagi emas Melaka dihadiahkan Tan Pei Ler sekali gus mempertahankan gelaran menerusi acara Nanquan lelaki.
Selain itu, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Sarawak, Selangor dan Terengganu masing-masing merangkul satu pingat emas.
Pingat emas Pulau Pinang diperoleh menerusi atlet wushu Muhammad Danish Aizad Mohd Firdaus Chua dalam disiplin Changquan manakala Stephanie Ngu Chai Ern meranglkul emas pertama buat kontinjen Sarawak menerusi acara Changquan wanita.
Selangor pula meraih emas pertama dalam acara wushu menerusi Mandy Cabelle Chen yang mengungguli disiplin Taijijian wanita sementara kategori lelaki disiplin sama dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Lee Cheng Yang.
Sementara itu, pelumba basikal, Nyo Ci Hui menghadiahkan emas buat kontinjen Perak dalam acara ujian masa individu wanita manakala Kee Zhe Yie menyumbang emas buat Terengganu bagi acara acara individu lelaki.
Esok, sebanyak 12 pingat emas menjadi rebutan menerusi tiga acara melibatkan berbasikal lebuh raya, tenpin boling dan wushu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!