Kelantan Darul Naim lepaskan Valdumar

Valdumar (tengah) tidak lagi bersama Kelantan Darul Naim. Foto KDN FC
Valdumar (tengah) tidak lagi bersama Kelantan Darul Naim. Foto KDN FC
A
A
A

PENYERANG import Kelantan Darul Naim FC, Valdumar Augusto Te meninggalkan Kijang Emas selepas mendapat tawaran menyertai kelab dari liga Libya.

Kelantan Darul Naim dalam kenyataan media berkata pihaknya mengesahkan penyerang import dari Guinea-Bissau itu meninggalkan Kijang Emas selepas hampir setengah musim bersama pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Kontrak pemain itu bersama pasukan berakhir berkuat kuasa hari ini. Ketika bersama Kelantan Darul Naim, Valdumar beraksi dalam sembilan perlawanan termasuk satu perlawanan pusingan kalah mati pada aksi Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim FC,”menurut kenyataan itu.

Menurut Kelantan Darul Naim, difahamkan Valdumar meninggalkan kelab berikutan kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan skuad kendalian Park Jae-hong sekali gus memutuskan tidak menyambung kontrak.

“Pemain berusia 26 tahun ini sentiasa menunjukkan komitmen tinggi, bersikap profesional selain sentiasa memberikan yang terbaik kepada kelab dan pasukan sejak dibawa masuk pada April lepas.

“Pihak pengurusan kelab merakamkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Valdumar serta berbangga dengan segala sumbangan diberikan terutamanya pada setiap sesi latihan dan perlawanan rasmi melibatkan Kelantan Darul Naim,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!