Komik Hew: Keputusan kerajaan cetuskan persoalan
PELBAGAI pihak mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan perintah larangan terhadap penerbitan komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diharamkan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.
Perintah larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme. Malah, komik itu juga memberikan persepsi negatif mengenai Islam apabila menggambarkan umat Islam sebagai pengganas.
Penulisnya adalah penyokong tegar DAP yang terkenal dengan panggilan 'Superman Hew', pernah terpalit pelbagai kontroversi disebabkan ucapan berbaur perkauman.
Antara yang membantah termasuklah Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong yang mahu kerajaan khususnya KDN memberi penjelasan berhubung keputusan tersebut.
Katanya, adakah selepas lima tahun, KDN mendapati tidak ada lagi sebarang ancaman yang boleh memudaratkan keamanaan dan keselamatan negara dalam kandungan komik yang mempromosikan ideologi komunis ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut juga mahu kerajaan mempertimbangkan langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik berkenaan.
Pas Selangor turut melahirkan ‘rasa dukacita, kecewa dan penentangan yang keras’ kerana komik berkenaan didakwa membawa mesej salah faham terhadap Islam dan menormalisasikan racun Islamofobia dalam negara ini.
Walaupun penarikan balik warta itu dikatakan susulan keputusan mahkamah, namun kerajaan perlu mengambil inisiatif lain bagi menghalang elemen yang boleh membawa implikasi negatif kepada rakyat Malaysia, sekali gus menjamin kestabilan di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!