'Tolong jangan hentikan RTG'

Beasley (kanan) ketika mengemudi Datuk Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik Paris 2024. Foto: Olympic Council of Malaysia
Beasley (kanan) ketika mengemudi Datuk Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik Paris 2024. Foto: Olympic Council of Malaysia
A
A
A

PROGRAM Road to Gold (RTG) perlu diberi tempoh masa yang mencukupi bagi merealisasi misinya untuk menyumbang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia.

Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, program tersebut juga memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi kitaran Olimpik bagi menilai keberkesannya.

Malah beliau berkata, RTG juga perlu diberi ruang sebaiknya untuk bergerak tanpa sebarang gangguan.

"Ini adalah program elit, anda harus faham bahawa ia memerlukan masa untuk membina prestasi pingat emas.

"Berikan Malaysia peluang untuk memupuk pembangunan atlet terbaik dan saya jamin ia akan dapat memberikan pulangan 10 kali ganda.

"Namun jika dihentikan, proses itu terpaksa dimulakan dari bawah - sekali lagi. Tindakan menghentikan dan memulakan inisiatif pada masa lepas telah membantutkan kemajuan," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus tiba dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Selasa.

Jurulatih dari Australia itu berkata, RTG berjaya memenuhi keperluan atlet dari segi peralatan atau sokongan emosi.

Artikel Berkaitan:

Malah beliau percaya jika diteruskan, ia sudah pasti hanya menunggu masa untuk menyumbang pingat emas kepada Malaysia.

"Saya rasa anda boleh lihat apa yang telah mulakan. Walaupun tidak membawa sebarang pingat emas, perak atau gangsa kali ini, tetapi anda dapat melihat persembahan atlet.

"Ada beberapa persembahan yang sangat baik pada Olimpik kali ini, jadi tolong jangan ganggu atlet atau hentikan program itu," katanya.

Beasley bagaimanapun berkata, program itu hanya perlu disediakan untuk atlet terbaik dan elakkan sebarang gangguan daripada unsur-unsur 'politik' untuk memastikan ia berjalan sebagaimana yang diharapkan.

RTG diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun lepas sebagai projek nasional dengan objektif untuk menyelaraskan usaha negara dalam memburu pingat emas sulung di Sukan Olimpik.

Ia bagaimanapun masih belum membuahkan hasil pada Sukan Olimpik Paris 2024 kerana kontinjen negara sekadar meraih dua gangsa.

Ia disumbang oleh kem badminton menerusi pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!