Cuepacs jamin penjawat awam tingkat prestasi kerja

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan penjawat awam akan meneruskan prestasi kerja yang baik tanpa mengambil kira pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia berikutan terdapat perkara penting yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini susulan kenaikan gaji penjawat awam.

“Apabila diberikan kenaikan gaji, sudah tentu perkhidmatan yang terbaik perlu ditunjukkan kepada orang ramai.

“Harus diingatkan bahawa SSPA baharu ini bukan berkisar kepada kenaikan gaji semata-mata tetapi ia menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek terutama dalam meningkatkan institusi perkhidmatan awam.

“SSPA merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti sekali gus menangani isu produktiviti yang rendah, pendapatan tidak seiring dengan kos sara hidup serta kemampanan fiskal negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Adnan berharap agar semua pihak jelas mengenai komitmen penjawat awam yang sentiasa berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Ujar beliau, pihaknya turut berharap semua kerajaan negeri akan mengikuti langkah meningkatkan gaji penjawat awam seperti dilakukan kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan SSPA yang baharu.

“Berdasarkan sejarah sebelum ini, apa yang diputuskan kerajaan Pusat akan diikuti oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Cuepacs tidak melihat perkara ini sebagai suatu masalah kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan SSPA baharu itu,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!