Tunku Zain rasmi pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024

Putera kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tunku Zain al-Abidin Tuanku Muhriz berkenan merasmikan dan melawat Pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024 yang diadakan di Exchange 106 @ TRX pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Putera kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tunku Zain al-Abidin Tuanku Muhriz berkenan merasmikan dan melawat Pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024 yang diadakan di Exchange 106 @ TRX pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Putera kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tunku Zain al-Abidin Tuanku Muhriz berkenan merasmikan pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024 pada Rabu.

Pengasas Galeri Kebudayaan World Culture Organisation (WCO) Holdings Sdn Bhd, Foo Loke Kee berkata, pameran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mempromosikan keunikan serta kepelbagaian budaya di negara ini.

Loke Kee. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Loke Kee. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Menurutnya, bertemakan ‘Silang Budaya, Harmoni Bersama’, kepelbagaian seni, etnik dan kaum menjadi tunjang pengenalan warisan negara kepada pengunjung tidak kira warga tempatan atau pelancong asing.

“Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai hasil seni rumah tradisional sebanyak 24 unit, jenis wau tradisional MySobek, figura etnik dan miniatur perpaduan pelbagai kaum.

“Selain itu, pengunjung dibawa menelusuri set keindahan sejarah negara, tarian tradisional, makanan warisan, perayaan kaum di Malaysia, replika Istana Seri Menanti Negeri Sembilan dan Istana Lemuni Negeri Pahang.

“Pameran ini menekankan kepentingan memelihara seni budaya Malaysia sebagai aset pelancongan supaya terus berkembang dan dihargai oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian terbabit yang bertempat di Lingkaran 106 Tun Razak Exchange (TRX), di sini.

Artikel Berkaitan:

Tunku Zain (tengah) ketika melihat replika Istana Seri Menanti Negeri Sembilan sambil ditemani Loke Kee (dua dari kanan) dan Dr Azreena (kanan) ketika pameran berlangsung. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Tunku Zain (tengah) ketika melihat replika Istana Seri Menanti Negeri Sembilan sambil ditemani Loke Kee (dua dari kanan) dan Dr Azreena (kanan) ketika pameran berlangsung. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Mohamad Azlan Abdul Majid; Pengarah Seksyen Komersial dan Digital Kraftangan Malaysia, Nor Farahin Nazmi Nor Azmi serta Pensyarah Jabatan Seni Bina dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azreena Abu Bakar.

Orang ramai dijemput memeriahkan pameran Silang Budaya Harmoni Malaysia 2024 yang berlangsung dari 6 hingga 31 Ogos ini bagi menyemarakkan lagi rasa cinta kepada seni warisan negara sempena Hari Kebangsaan ke-67.

Sementara itu, Azreena memaklumkan, pihaknya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membuat persiapan dan penjelasan terperinci mengenai pameran terbabit khususnya replika rumah tradisional.

Tambah beliau, motif yang terletak pada rumah tradisional mempunyai maksud tersendiri dan berkait dengan alam sekitar contohnya corak ayam, itik, bunga serta lain-lain.

“Justeru, usaha ini bukan sahaja untuk komuniti setempat, tetapi buat pengunjung luar negara juga supaya seni warisan Malaysia dihargai dan dipandang tinggi,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!