Nelayan hadapi masalah internet

Jumlah penggunaan aplikasi MyIsytihar bakal meningkat jika masalah capaian internet yang dihadapi nelayan dapat diselesaikan segera. - (Gambar kecil: Abdul Hamid) Gambar hiasan
Jumlah penggunaan aplikasi MyIsytihar bakal meningkat jika masalah capaian internet yang dihadapi nelayan dapat diselesaikan segera. - (Gambar kecil: Abdul Hamid) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah capaian internet menjadi antara punca nelayan masih tidak dapat menggunakan aplikasi MyIsytihar yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ke telefon pintar masing-masing bagi usaha memerangi ketirisan diesel bersubsidi di negara ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, masalah tersebut dilihat banyak berlaku di kawasan pedalaman dan pihaknya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat membantu mengatasinya.

“Nelayan memang menyambut baik aplikasi MyIsytihar ini bagi mengisytiharkan jumlah hasil laut yang didaratkan tanpa terikat dengan waktu operasi pusat pengisytiharan dan pendaratan ikan LKIM.

“Namun, mereka gagal menggunakan aplikasi itu sebab ada sesetengah tempat menghadapi masalah capaian internet terutamanya di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media yang menyatakan sebanyak 50 peratus daripada 32,000 pemilik bot nelayan di negara ini masih tidak menggunakan aplikasi MyIsytihar yang dibangunkan oleh LKIM.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya yakin bilangan nelayan yang berdaftar akan terus meningkat hasil gerak kerja LKIM di peringkat negeri dan mahu semua pemilik bot menggunakan aplikasi itu selewat-lewatnya pada penghujung 2025.

Jelas Abdul Hamid, Nekmat menyambut baik aplikasi tersebut kerana dapat membantu pengumpulan data yang diperlukan oleh kerajaan bagi mendapatkan maklumat tangkapan ikan dengan lebih tepat.

Ujarnya, bagi kawasan yang menghadapi masalah internet, nelayan terpaksa mengisi borang secara manual bagi mengisytiharkan jumlah hasil yang berjaya didaratkan setiap kali pulang dari laut.

Artikel Berkaitan:

“Jika capaian internet baik, nelayan akan dapat menggunakan aplikasi MyIsytihar tersebut kerana mereka juga memerlukan resit rasmi daripada aplikasi itu bagi mendapatkan diesel bersubsidi,” jelasnya.

Tambahnya, semua nelayan yang berada di kawasan capaian internet yang baik perlu segera mendaftar dan menggunakan aplikasi MyIsytihar bagi mencapai sasaran penggunaannya pada tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!