Jual pemadam api demi tawan puncak Everest
SHAH ALAM - Seorang anggota bomba bertekad untuk mengambil cuti tanpa gaji bagi merealisasikan projek Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ 2025.
Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 42, berkata, projek pendakian Gunung Everest itu tidak mengutip derma daripada rakyat Malaysia atau menggunakan wang kerajaan.
Sebaliknya, beliau sudah menggerakkan jualan amal alat pemadam api edisi khas seberat satu kilogram berserta barangan kombo iaitu baju-T eksklusif dan topi tahan lasak bagi mengumpul dana.
“Alat pemadam api ini boleh dibeli dengan harga RM139 seunit manakala baju-T eksklusif (RM59) dan topi (RM39) atau pembelian secara kombo untuk ketiga-tiga barangan tersebut pada harga RM199,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, projek itu bertujuan untuk menambah dana bagi membantu anggota bomba yang kurang bernasib baik.
Mohd Fakhrul Munir berkata, beliau turut berhasrat untuk menjadikan bomba sebagai pasukan badan beruniform negara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest.
“Projek pendakian ke puncak gunung dengan ketinggian 8,848 meter dari aras laut ini adalah ilham saya sendiri sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.
Ujarnya, ekspedisi itu merupakan rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.
Jelasnya, projek berkenaan dianjurkan oleh Kelab Kembara Kosmopolitan dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR) bagi menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.
“Projek ini mendapat sokongan penuh dan persetujuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bertujuan membantu mereka yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas atau masih dalam perkhidmatan,” ulasnya.
“Sebenarnya, ‘hati emas’ ini ada dalam diri kita. Sokongan kecil anda dengan membeli alat pemadam api ini untuk beramal sekali gus membantu orang yang memerlukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!