Taliban rai hari bersejarah
KABUL - Pihak berkuasa Taliban meraikan ulang tahun ketiga pengambilalihan Afghanistan dengan mengadakan perarakan tentera di bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) dan perayaan di bandar-bandar utama di negara tersebut, pada Rabu.
Justeru, kawalan keselamatan tambahan dipertingkatkan di ibu negara Kabul ketika ancaman serangan kumpulan Daesh masih berterusan sehingga ke hari ini.
Kumpulan Taliban merampas semula Kabul pada 15 Ogos 2021 selepas kerajaan yang disokong AS tumbang manakala pemimpinnya melarikan diri.
Bagaimanapun, sambutan kali ini dilakukan sehari lebih awal mengikut kalendar Afghanistan.
"Dari segi sejarah, Hari Kemenangan adalah hari terpenting dan membanggakan umat Islam, khususnya rakyat Aghanistan.
"Pada tarikh ini, ALLAH mengurniakan kepada negara Mujahid Afghanistan kemenangan terhadap pasukan yang angkuh dan penjajah antarabangsa," kata Perdana Menteri, Mohammad Hassan Akhund.
Dalam tempoh tiga tahun sejak mereka menamatkan pemberontakan selama 20 tahun, kerajaan Taliban telah mengukuhkan cengkamannya ke atas negara itu dengan melaksanakan undang-undang berdasarkan syiar Islam.
Undang-undang termasuk sekatan kebebasan wanita yang digelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'apartheid jantina', masih kekal sehingga sekarang.
Sepanduk, bendera dan puisi
Sebelum tiba hari sambutan, pekerja sedang sibuk memasang sepanduk dan papan iklan bertulis 'Tahniah' beserta tarikh ulang tahun di sekitar Kabul.
Penjual dilihat menjual bendera Emeriah Islam Afghanistan bewarna putih dan hitam yang akan menghiasi bandar-bandar di Kabul.
Perarakan dan ucapan tentera akan diadakan di pangkalan udara Bagram, bekas pusat operasi tentera As di Afghanistan yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kabul.
Dalam tempoh itu, sambutan itu menyaksikan atlet dan pembacaan puisi yang diadakan di ibu negara.
Pada masa sama, langkah keselamatan dipertingkatkan pihak berkuasa Taliban dan ramai rakyat melahirkan kelegaan selepas diancam konflik selama 40 tahun yang menyaksikan krisis kemanusiaan teruk berlaku sepanjang tempoh itu.
Kenyataan bersama daripada kumpulan bukan kerajaan antarabangsa memberi amaran mengenai jurang pembiayaan bantuan yang semakin meningkat kepada negara didiami 23.7 juta orang.
Human Right Watch (HRW) mengulangi desakan supaya kerajaan Taliban menarik balik sekatan terhadap wanita yang dikatakan semakin ditindas apabila mereka dilarang mendapatkan pendidikan di negara tersebut.
"Ulang tahun ketiga pengambilalihan Taliban adalah peringatan yang menyedihkan tentang krisis hak asasi manusia Afghanistan, tetapi kita perlu bertindak cepat," kata penyelidik Afghanistan untuk HRW, Fereshta Abbasi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!