Keletah Amaar suka bawang raih 3 juta tontonan

Keletah Amaar yang suka makan bawang raih tiga juta tontonan di aplikasi TikTok.
Keletah Amaar yang suka makan bawang raih tiga juta tontonan di aplikasi TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika ramai kanak-kanak seusia dengannya cuba mengelak untuk makan sayur-sayuran mahupun nasi, keletah Amaar yang gemar bawang dan perwatakan bersahaja mencuri perhatian pengguna media sosial.

Baru berusia dua tahun, Amaar Muhriz Khairul Aizat dilihat sentiasa meminta bawang sebagai makanan sampingan untuk dinikmati bersama juadah utama.

Berkongsi perkara tersebut, ibunya, Rabiatul Aini Abdullah Sani, 29, berkata, kebanyakan menu Amaar perlukan tumisan dan hirisan bawang kerana ia permintaan anaknya.

“Sejak usia Amaar enam bulan, saya selalu kongsi video dia makan bawang melalui laman sosial Instagram dan hampir setiap hari saya muat naik videonya.

“Sekiranya tiada menu bawang, Amaar tetap okay, makan seperti biasa. Bawang bukan menu yang wajib perlu ada, cuma Amaar suka sangat bawang,” katanya kepada Sinar Harian.

Video Amaar makan bawang mula tular di TikTok dan mendapat lebih tiga juta tontonan dan 30,000 perkongsian di aplikasi tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji perwatakan kanak-kanak itu petah bercakap dan sentiasa memuji masakan ibunya.

“Seronok tengok dia (Amaar) makan bawang, tak lekang mulut puji ibu masak sedap. Sampai saya pun nak rasa masakan ibu,” kata @Intan Syakieraa.

Artikel Berkaitan:

“Rasa puas tengok anak makan sayur. Petah bercakap, semoga jadi anak soleh,” tulis @asyikin.

Sementara itu Rabiatul Aini turut memaklumkan, dia menerima banyak komen positif daripada pengguna media sosial namun masih ada yang memberi kritikan di video anaknya.

Namun wanita dari Johor Bahru itu memilih untuk memadam komen keterlaluan sekiranya ia membuka membuka ruang untuk warganet berbalah.

“Bagi saya bagus sekiranya kita tunjukkan perkara positif di media sosial kerana secara tak langsung boleh jadi rujukan dan contoh kepada ibu bapa lain.

“Tidak kira aktiviti apa yang dilakukan, yang penting ia memberi manfaat kepada semua dan anak sentiasa gembira.

“Sebagai ibu bapa, kita raikan sahaja perbezaan minat setiap anak dan beri galakan yang baik pada mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!